KUALA LUMPUR – Pejabat Menteri Pertahanan hari ini membuat satu laporan polis berhubung dua surat palsu berkaitan kontrak pembekalan perabot serta perkhidmatan bas bagi kementerian tersebut.
Pegawai Tugas-Tugas Khas Kementerian Pertahanan, Rafizal Ali berkata, pihaknya mula menyedari kewujudan surat tersebut pada 9 Disember 2018 serta 17 Januari lalu selepas mendapati tiada sebarang projek berhubung pembekalan kontrak berkenaan.
Katanya, surat pertama membabitkan pembekalan perabot buat Angkatan Tentera Malaysia yang dianggarkan berjumlah RM3 juta manakala surat kedua pula pembekalan perkhidmatan bas dan kenderaan untuk markas tentera.
“Pihak kami mendapati surat yang tertera cop penerimaan daripada Kementerian Pertahanan itu turut mempunyai nota arahan Menteri, Mohamad Sabu yang kononya mengarahkan menyelesaikan permohonan pembekalan kontrak perabot tersebut.
“Selepas meneliti surat itu, kita mendapati pihak kementerian tidak pernah mengeluarkan sebarang surat sokongan kepada syarikat berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju di sini hari ini.
Difahamkan, surat berkenaan membabitkan penglibatan dua syarikat yang bertapak di Kelantan dan Sungai Petani, Kedah.
Menurutnya lagi, hasil siasatan dalaman mendapati surat itu dipercayai dilakukan orang tengah syarikat berkenaan dan tiada sebarang penglibatan daripada pejabat kementerian.
“Kita buat laporan ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan berhubung pemalsuan dan penyalahgunaan nama menteri serta kementerian berkenaan supaya tiada orang terpedaya,” ujarnya. – K! ONLINE











