HULU LANGAT 26 Feb. – Calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali mengakui terlewat untuk meninjau proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih kerana tertinggal pas calon yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurutnya, beliau telah tiba di pintu pengawal Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Batallion Ke-4, Semenyih sejak pukul 8.50 pagi namun tidak dibenarkan masuk kerana tidak membawa sekali pas calon miliknya.
“Ada sedikit masalah, pas calon saya ini berada bersama dokumen-dokumen lain di dalam sebuah lagi kereta yang telahpun bergerak ke Kuala Lumpur, itu yang menyebabkan saya terlewat kerana perlu menunggu pas tersebut.
“Namun begitu, apa yang jelas pihak polis telah menjalankan tugas mereka dengan baik dan telus. Walaupun saya calon dari PH, saya tetap tidak dibenarkan masuk,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selepas melawat pusat mengundi bagi pengundian awal PRK Semenyih di Dewan Serbaguna, Kem PGA Batallion Ke-4, Semenyih di sini hari ini.
Sebelum itu, Muhammad Aiman tiba di pusat pengundian awal tersebut kira-kira pukul 11.45 pagi.
Ketiadaan beliau pagi ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan media yang menunggunya sejak pusat pengundian awal dibuka pada pukul 8.00 pagi.
Tiga calon lain bagi PRK Semenyih bagaimanapun telah tiba lebih awal di pusat pengundian tersebut yang merupakan salah satu daripada dua pusat pengundian awal yang dibuka sempena PRK Semenyih.
Calon Barisan Nasional, Zakaria Hanafi tiba kira-kira 8.50 pagi manakala calon Parti Sosialis Malaysia, Nik Aziz Afiq Abdul tiba kira-kira pukul 9.50 pagi diikuti calon Bebas, Kuan Chee Heng kira-kira 10 minit kemudian.-UTUSAN ONLINE.











