KUALA LUMPUR 26 Feb. – Polis mengesahkan laporan bedah siasat kedua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle Fund), Allahyarham Nazrin Hassan telah diperoleh pada minggu lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, ekoran daripada perkembangan terbaharu itu, phaknya telah merujuk semula kertas siasatan tersebut kepada Pejabat Peguam Negara pada Jumaat lalu.
“Buat masa sekarang, kita menunggu keputusan lanjut daripada Peguam Negara untuk langkah seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nazrin meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Petaling Jaya dekat sini pada 14 Jun lalu selepas telefon bimbit miliknya dikatakan meletup.
Bagaimanapun, dua bulan kemudian, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba mendapati ada kesan petrol di tempat kejadian.- UTUSAN ONLINE











