KUALA LUMPUR 26 Feb. – Kerajaan didesak mempercepatkan pelaksanaan serta penggubalan undang-undang berkaitan perkauman dan agama seperti Akta Kebencian Agama dan Kaum bagi mengelakkan insiden penghinaan kaum terus berleluasa.
Presiden Kebangsaan Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima), Syed Osman Mohamed berkata, tindakan itu dilihat dapat mengekang individu tidak bertanggungjawab dalam membangkitkan isu perkauman serta tindakan tegas boleh dikenakan.
“Sudah tiba masanya kerajaan perlu lebih bertegas dalam apa jua isu penghinaan kaum tanpa mengira latar belakang dan kami mendesak supaya Akta Kebencian Agama dan Kaum dilaksanakan secepat mungkin bagi mengatasi isu ini.
“Adalah sesuatu yang membahayakan jika isu ini berlaku lagi dimasa akan datang dan menjadi kebimbangan ada pihak akan mengambil tindakan sendiri jika perkara sedemikian berlaku lagi,” katanya di sini hari ini.
Pada 19 Februari lalu, seorang lelaki berusia 68 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aishah menerusi status yang dimuat naik di akaun Facebook bernama Foo Sing Wai telah dibebaskan dengan jaminan polis, Jumaat lalu. – UTUSAN ONLINE











