DALAM usaha untuk menyumbang ke arah peningkatan kualiti pendidikan orang kelainan upaya (OKU), syarikat pengeluar makanan dan minuman terkemuka, Nestle Malaysia telah menyumbang bahan bacaan braille bernilai RM45,000 kepada Yayasan Orang Buta Malaysia (YOBM) baru-baru ini.
Sumbangan 1,000 buku bagi membantu 500 kanak-kanak buta dan cacat penglihatan itu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat Nestlé Malaysia untuk meningkatkan kualiti hidup dan menyumbang ke arah masa depan yang lebih sihat.
Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Nestlé Malaysia, Nirmalah Thurai berkata, pihaknya sentiasa menjalin usaha dalam membantu golongan yang memerlukan khususnya OKU untuk mencapai kehidupan yang lebih baik terutama dalam bidang pendidikan.
“Kami amat komited untuk membawa perubahan bermakna dalam kehidupan mereka yang memerlukan.
“Sebagai sebuah syarikat yang menyokong keterangkuman dan kepelbagaian budaya, kami percaya bahawa setiap insan sewajarnya diberi peluang yang sama untuk membaca dan menulis, termasuk golongan buta,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar baru-baru ini.
Tambahnya lagi, kecelikan braille adalah satu komponen penting dalam pendidikan kerana kemahiran ini membuka dan menambah peluang untuk orang buta dan cacat penglihatan.
Menurutnya lagi, pihaknya berharap sumbangan berkenaan dapat membantu menambah baik kadar celik huruf dalam kalangan orang buta dan cacat penglihatan di Malaysia sekali gus menambah mutu pendidikan buat golongan berkenaan.
“Kami percaya pendidikan dapat mengubah masa depan orang OKU kerana sebahagian mereka juga mempunyai tahap intelektual yang sama seperti manusia normal,” ujarnya.











