MEMASUKI hari ke-10 kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, jentera setiap calon yang bertanding terutamanya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semakin memperhebat usaha menarik sokongan pengundi.
Walaupun terdapat beberapa cerita kurang enak didengari selepas calon PH, Muhammad Aiman Zainali ‘hilang daripada radar’ hari ini, namun kehadiran beberapa menteri Kabinet dalam siri ceramah yang telah diatur mungkin berjaya menutup ‘kelemahan’ itu.
Prestasi Muhammad Aiman yang juga menantu kepada penyandang kerusi DUN Semenyih, Allahyarham Bakhtiar Mohd. Nor juga dikatakan kian meningkat selepas dikritik hebat pada awal sesi kempen minggu lalu.
Calon BN, Zakaria Hanafi pula seolah-olah tidak kenal erti penat apabila menghadiri kira-kira 10 program setiap hari bermula awal pagi sehinggalah ke lewat malam. Komitmen tinggi ditunjukkan itu semestinya ditagih pengundi sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat nanti.
Dalam pada itu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang diwakili anak muda, Nik Aziz Afiq Abdul pula mengekalkan momentum apabila terus membangkitkan pelbagai isu yang disifatkan dekat dengan penduduk. Isu pendidikan, kesihatan dan perumahan kos rendah menjadi idaman pengundi Semenyih adalah antara yang dicanangkan.
Cuma kelibat calon Bebas, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang sahaja yang jarang sekali kelihatan. Mungkin disebabkan kekangan jentera berbeza dengan calon-calon lain atau pun strategi tersendiri yang cuba ditampilkan aktivis masyarakat itu. Hanya beliau sahaja yang mengetahuinya.
Menjelang proses pengundian awal esok, keempat-empat calon tentunya sudah cuba memberikan yang terbaik untuk menarik sokongan pengundi. Jumlah 858 pengundi awal yang terdiri daripada anggota Polis Pasukan Gerakan Am dan anggota keselamatan lain semestinya sudah boleh berkira-kira siapa calon pilihan hati.
Siapa pun calon yang dipilih esok dan kira-kira 54,000 pengundi berdaftar Sabtu ini, semestinya memegang amanah besar membawa harapan penduduk Semenyih ke peringkat DUN Selangor.
Pengundi di Semenyih semestinya sudah cukup bijak dan matang untuk menilai serta memilih calon pilihan apatah lagi mereka amat berharap wakil rakyat itu nanti dapat menyelesaikan pelbagai masalah setempat yang telah sekian lama ‘menghantui’ terutamanya melibatkan kehidupan seharian.











