KUALA LUMPUR 25 Feb. – Bursa Malaysia mengakhiri sentimen pasaran lebih tinggi pada hari ini namun keseluruhan pasaran terus tertekan dengan beberapa pengunduran yang melibatkan syarikat konsesi tol dan pembinaan dalam pengurusan lebuh raya.
Pada pukul 5 petang, indeks FBM KLCI ditutup 3.16 mata atau 0.18 peratus lebih tinggi pada 1,724.58 mata berbanding penutupan pada Jumaat lalu sebanyak 1,721.42 mata dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung dengan jumlah 481 kaunter berbanding 386 kaunter manakala 380 kaunter lagi didagangkan tidak berubah.
Bursa Malaysia dibuka tinggi dalam dagangan awal hari ini, pada pukul 9.20 pagi ini, FBM KLCI naik 0.12 mata kepada 1,721.54 daripada 1,721.42 sebelum ini. Indeks penanda aras itu menokok 0.92 mata kepada 1,722.34 sewaktu dibuka hari ini.
Bagaimanapun, momentum saham ini tidak begitu menarik kepada Gamuda Bhd. (Gamuda) apabila susut 5.92 peratus atau 18 sen kepada RM2.86 sesaham susulan laporan kerajaan memulakan rundingan dengan syarikat itu bagi tujuan pengambilalihan empat konsesi lebuh raya dengan syarikat itu mempunyai pegangan majoriti.
Dalam dagangan pagi, saham Gamuda dibuka pada harga RM2.80 sesaham dan kemudiannya susut 28 sen kepada RM2.76 sesaham pada pukul 10 pagi dengan 18.63 juta saham saling berpindah tangan.
Selain itu, saham konsesi tol lain seperti IJM Corp. turun 11 sen kepada RM1.88 sesaham manakala Ekovest susut 3.5 sen kepada 56.5 sen sesaham dan Lingkaran Trans Kota Holdings turun 43 sen kepada RM4.17 sesaham.
Gamuda dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, pihaknya akan memastikan urus niaga yang dicadangkan itu adalah berdasarkan norma dan amalan penilaian pasaran.
“Ini memandangkan Lembaga Pengarah Gamuda mempunyai kewajiban fidusiari untuk memberikan nilai yang adil dan munasabah kepada semua pemegang sahamnya,
“Gamuda akan membuat pengumuman yang diperlukan sebaik sahaja terdapat perkembangan material berhubung perkara berkenaan. Buat masa ini, pihak kami masih berunding dengan kerajaan berkaitan pengambilalihan yang dicadangkan ini,” katanya.
Dalam Laporan Tahunan 2018 Gamuda, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja memiliki 10.98 peratus pegangan manakala Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (4.14 peratus), Lembaga Tabung Haji (3.67 peratus) dan Permodalan Nasional Berhad (1.57 peratus).











