PUTRAJAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) kekal di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan ia tidak berubah meskipun dengan pengenalan syarikat tujuan khas (SPV) seperti yang telah dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, dakwaan dan tuduhan bahawa TH dipindahkan kepada Kementerian Kewangan adalah palsu dan tidak berasas sama sekali.
“Lembaga TH telah dilemparkan dakwaan dan tuduhan bahawa bidang kuasanya dipindahkan daripada JPM kepada Kementerian Kewangan.
“Ini setelah keputusan Jemaah Menteri untuk memindahkan aset-aset yang tidak menguntungkan TH kepada SPV milik kerajaan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pemindahan aset-aset itu kepada SPV adalah sebahagian usaha untuk mengembalikan keadaan kewangan TH kepada normal dan mempercepatkan pemulihan kewangan institusi tersebut setelah berlaku salah laku secara besar-besaran.
Ujarnya, TH juga diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) yang merupakan badan yang bebas.
Tambah kenyataan itu, BNM dibawah pimpinan Gabenor Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus akan mengawal selia semua bank dan institusi kewangan di dalam negara termasuk institusi kewangan Islam. – K! ONLINE










