Untung bersih Petronas Chemicals melonjak kepada RM4.98 bilion - Utusan Malaysia

Untung bersih Petronas Chemicals melonjak kepada RM4.98 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Feb.- Keuntungan bersih Petronas Chemicals Group Bhd'(PCG) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018 (FY18) melonjak kepada RM4.98 bilion berbanding RM4.18 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hasil meningkat 12 peratus kepada RM19.58 bilion berbanding RM17.41 bilion sebelumnya susulan harga produk dan jumlah jualan yang lebih tinggi, sebahagiannya diimbangi oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar US, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pendapatan asas sesaham meningkat 62 sen daripada 52 sen sebelumnya.

Penggunaan loji kumpulan itu adalah pada tahap 92 peratus, meningkat sedikit berbanding 91 per pada tahun sebelumnya.

“Jumlah pengeluaran dan jualan adalah lebih tinggi, sebahagian besarnya disumbangkan oleh pengeluaran urea dari Petronas Chemicals Fertilizer Sabah Sdn Bhd, yang memulakan operasi komersial pada Mei 2017.

“Harga purata produk adalah lebih tinggi berbanding pada tahun sebelumnya, selari dengan peningkatan harga minyak mentah,” kata PCG.

Untuk masa depan, PCG berkata hasil operasi kumpulan itu sebahagian besarnya dipengaruhi kedudukan ekonomi dunia, pergerakan kadar tukaran asing, kadar penggunaan kemudahan pengeluaran selain harga produk petrokimia, yang berkait rapat dengan harga minyak, terutama untuk segmen olefin dan derivatif.

“Penggunaan kemudahan pengeluaran kami bergantung kepada aktiviti penyelenggaraan loji dan ketersediaan stok suapan serta bekalan utiliti yang mencukupi.

“Kumpulan ini akan meneruskan program kecemerlangan operasi dan pengurusan hubungan dengan pembekal bagi mengekalkan tahap penggunaan loji melepasi penanda aras industri,” katanya.

PCG mengumumkan dividen satu peringkat interim kedua sebanyak 18 sen sesaham biasa (2017: 15 sen sesaham), yang akan dibayar pada 27 Mac 2019 kepada pemegang saham, tambahan kepada dividen satu peringkat interim pertama sebanyak 14 sen sesaham yang dibayar pada September tahun lepas. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN