RANTAU PANJANG 25 Feb. – Sebuah rumah pusaka yang dihuni tujuh beranak di Kampung Bagus dekat sini, terbakar hari ini sekaligus menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang.
Kejadian pukul 12.50 tengah hari itu berlaku ketika mangsa Wan Hassan Wan Ahmad, 45, sedang menonton televisyen bersama anak bongsunya, Wan Haziq, 5.
Wan Hassan berkata, dia kemudian dikejutkan dengan bunyi letupan kecil dari bilik bersebelahan sebelum bertindak pantas keluar mencari punca letupan kecil itu.
“Sebaik sahaja keluar, saya dapati api sudah marak membakar siling rumah. Saya terus membawa anak keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya di sini hari ini.
Wan Hassan memberitahu, meskipun tinggal sehelai sepinggang dia lega kebakaran itu tidak meragut nyawa.
Katanya, ketika kejadian anak-anaknya sedang bersekolah manakala isterinya Nasa Ibrahim, 43, berniaga di pasar.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.53 tengah hari.
Katanya, seramai tujuh anggota bersama dua jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja memadam kebakaran dan menyelamat.
“Ketika kami sampai, rumah ini sudah 70 peratus hangus,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE











