KUALA LUMPUR – Wira Perkasa Malaysia menggesa pendakwaan ke atas individu yang menghina Nabi Muhammad SAW serta isteri, Saidatina Aishah dipercepatkan berikutan terdapat bukti yang kukuh setakat ini.
Naib Wira Perkasa Malaysia, Syed Mohd. Shahriman Syed Badrishah berkata, pihaknya tidak mahu mendengar sebarang alasan retorik berikutan bukti penghinaan yang dilakukan oleh pemilik akaun Facebook Foo Sing Wai sudah jelas.
“Kegagalan pendakwaan segera akan mendorong umat Islam terus marah dan ia boleh menggugat keselamatan negara malah dilihat sebagai penghinaan kepada undang-undang sedia ada dalam negara ini.
“Penghinaan yang amat biadap dan kurang ajar ini seharusnya ditentang dan dikenakan tindakan yang setimpal,” katanya pada satu sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum desakan dakwaan segera terhadap Foo Sing Wai di Bukit Aman hari ini.
Menurut Syed Mohd. Shahriman, pihaknya berasa sangat kesal apabila penghina Nabi Muhammad SAW itu dibebaskan dengan sekadar jaminan polis.
“Wira Perkasa sangat kesal apabila banyak kejadian penghinaan terhadap Islam kebelakangan ini dan menuntut pihak Polis Diraja Malaysia bertindak tegas juga bebas tanpa sebarang pengaruh politik bagi menangani isu ini,” tegas beliau. – K! ONLINE











