KUALA LUMPUR 25 Feb. – Syarikat milik hartawan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Kelana Ventures Sdn. Bhd. (KVSB) mengakui terlibat dengan kontroversi perjanjian penswastaan tanah milik Kementerian Pertahanan.
Dalam surat yang diutus kepada portal The Edge Financial Daily, syarikat itu menjelaskan tanah tersebut diberi nilai RM500 juta berdasarkan keadaan semasanya tanpa mengambil kira pertukaran premium yang perlu dibayar pada masa akan datang serta syarat dan halangan lain yang mungkin dikenakan Kerajaan Negeri Selangor.
Menurut portal The Edge Markets, syarikat itu menjelaskan, sebagai pulangan kepada penswastaan tanah tersebut, mereka diminta membina tiga kemudahan baharu untuk Kementerian Pertahanan dengan jumlah keseluruhan kos sebanyak RM499.9 juta.
“Kemudahan baharu itu ialah sebuah kem tentera baharu di Kem Paloh, Kluang, Johor bernilai RM280.7 juta; pusat latihan pengurusan logistik baharu di Sendayan, Negeri Sembilan bernilai RM137.3 juta dan Markas Tentera Udara 2 di Kementah, di sini bernilai RM81.9 juta.
“KVSB juga menjelaskan perjanjian penswastaan tanah beserta perjanjian pembinaan kemudahan itu masih belum ditandatangani KVSB atau Kementerian Pertahanan, tetapi syarikat itu telah bersetuju dengan permintaan Kementerian Pertahanan untuk memulakan kerja-kerja pembinaan bagi Kem Paloh,” lapor portal itu di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu membuat pendedahan kerugian RM500 juta ekoran hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari lalu.
Semua kerugian dan ketirisan itu membabitkan 16 projek penswastaan tanah terdiri daripada 2,923 ekar (1,183 hektar) tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek sebanyak RM4.8 bilion. – UTUSAN ONLINE











