BUKIT MERTAJAM 25 Feb. – Polis menahan seramai lapan individu termasuk warga emas dalam satu serbuan di sebuah rumah kedai yang dijadikan kasino di Jalan Melor di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.55 petang itu, kesemua suspek yang berusia 40 hingga 78 tahun itu sedang leka berjudi ketika sebuan dijalankan oleh pihak polis di lokasi berkenaan.
Ketua Polis Daereah Seberang Perai Tengah, Asisten Komissioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, ketika serbuan itu juga, seorang suspek sedang berada di kaunter kedai manakala tujuh lagi sedang bermain judi di meja masing-masing.
“Rumah kedai itu dipercayai dijadikan sebagai tempat berjudi sejak beberapa bulan lalu sebelum dikesan polis.
“Mereka termasuk pemilik premis ditahan ketika sedang bermain judi dikenali ‘Gin Rummy’ di lokasi berkenaan dan kesemua mereka tidak menyedari kehadiran polis di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, dalam serbuan itu polis turut merampas wang tunai sebanyak RM2,340 yang dipercayai merupakan duit pertaruhan serta beberapa barangan lain digunakan untuk berjudi.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. – UTUSAN ONLINE











