KUALA LUMPUR 25 Feb. – Seorang pengurus akaun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera anaknya yang berusia empat tahun, bulan lalu.
Chan Khin Thiam, 32, didakwa menyebabkan kecederaan terhadap anak perempuannya, Chan Cai Ling, 4, sehingga menyebabkan kanak-kanak itu cedera di bahagian badan dan kaki.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di kediamannya di Jalan Desa Residen, Levenue Desa Park City, Sentul, di sini pada pukul 12.30 tengah malam, 3 Januari lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Akmal Anuar mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan atas alasan kecederaan mangsa serius dan tertuduh masih tinggal sebumbung dengan mangsa namun Khin Thiam yang tidak diwakili peguam memohon dibenarkan jaminan kerana mendakwa dia memukul anaknya kerana mangsa tidak mahu makan.
Hakim Dr. Gan Chee Keong tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 12 Mac ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE











