Tiga rakan terlepas hukuman mati kes edar dadah - Utusan Malaysia

Tiga rakan terlepas hukuman mati kes edar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Tiga rakan terlepas hukuman mati selepas mereka dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengedar tiga jenis dadah berjumlah 691.5 gram empat tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pesuruhjaya Kehakiman Hayatul Akmal Abdul Aziz membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes di akhir kes pembelaan. 

“Selepas meneliti hujan dan keterangan daripada kedua-dua pihak, mahkamah mendapati terdapat banyak keraguan munasabah yang timbul dalam kes ini. 

“Mahkamah mendapati tidak selamat untuk mensabitkan ketiga-tiga tertuduh atas pertuduhan berkenaan. Oleh itu, kamu bertiga dilepaskan dan dibebaskan,” katanya.

Suasana di dalam mahkamah riuh seketika selepas Hayatul Akmal membacakan keputusan. Ahli keluarga dan rakan-rakan masing-masing memeluk tertuduh dan ada antara mereka menitiskan air mata gembira atas pembebasan tersebut. 

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh, S. Matharan, 33; S. Logeswaran, 34, dan L. Kelemen, 33, didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis heroin dan morfin masing-masing berjumlah 175.1 gram dan 57.9 gram. 

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 466.1 gram. 

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Bandar Lahat Mines, Lahat di sini pada pukul 3 petang 20 Februari lalu.

Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Tania Scivetti dan Syazwani Mohd. Zawawi mewakili tertuduh Mathavan dan Logeswaran. Peguam bela Charan Singh dan Jagdave Singh pula mewakili tertuduh Kelemen. 

Pihak pendakwaan telah memanggil 13 saksi manakala 9 saksi dipanggil pihak pembelaan. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN