SEBERANG PERAI – Seorang pengusaha kedai menjual kereta terpakai di Jalan Baru, Perai di sini kerugian kira-kira RM600 selepas sebuah kereta dan cermin pejabat dilastik menggunakan bebola besi malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu, kedua-dua belah cermin penumpang belakang sebuah kereta jenis Proton Saga BLM dilaporkan pecah akibat tindakan berkenaan oleh seorang lelaki.
Katanya, pihak polis telah menahan suspek berusia 47 tahun sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu selain merampas dua lastik serta beberapa biji bebola besi dan guli.
“Menurut pemilik kedai kereta terpakai itu yang berusia 59 tahun, dia tidak tahu punca suspek yang merupakan anak rakannya di kedai bersebelahan bertindak sedemikian.
“Selain itu, polis ada menerima tiga lagi laporan lain berhubung kejadian sama di sekitar Perai melibatkan sebuah pusat mencuci kenderaan, pusat servis kereta dan berdekatan sebuah rumah,” katanya.
Menurutnya, suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











