Pahang akur kongsi satu mata - Utusan Malaysia

Pahang akur kongsi satu mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 25 Feb. – Rentak sumbang Pahang menyebabkan skuad Tok Gajah sekadar seri 1-1 pada pertemuan menentang Selangor di Stadium Darul Makmur di sini, semalam.

Ketua Jurulatihnya, Dollah Salleh berkata anak buahnya hanya mampu bermain dengan baik pada awal babak perlawanan sebelum kehilangan rentak sehingga membolehkan pasukan lawan melancarkan serangan.

“Hanya 15 minit pertama kita melakukan pergerakan seperti biasa sebelum hilang punca menyebabkan pergerakan banyak tersekat selain bahagian tengah tidak banyak mencipta peluang dan kurang memberi sokongan kepada pertahanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selangor nampaknya bijak mengambil peluang menerusi penyerang Rufino Segovia yang berupaya bergerak ke kiri dan kanan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tamat.

Pada perlawanan itu, Pahang memperoleh gol menerusi Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-34 sebelum Rufino, pemain import dari Sepanyol menyamakan kedudukan pada minit ke-61.

Tekanan semakin dirasai pasukan tuan rumah, apabila pertahanan import Harold Goulon dikenakan kad merah selepas mengasari Endrik Dos Santos pada minit ke-72.

Dollah juga mengakui penyerang import mereka Jose Eduardo atau Ze Love masih belum mendapat sentuhannya dan memerlukan sedikit masa lagi untuk mendapatkan rentak.

Sementara itu, pengendali Selangor B. Satiananthan mengakui berpuas hati dengan permainan skuad Red Giants walaupun bermain dalam keadaan tertekan rentetan keputusan tiga perlawanan lepas yang tidak begitu memberangsangkan.

“Saya menghormati pemain sebab mereka tidak takut berdepan Pahang yang dikenali sebagai antara pasukan yang kuat dan kita bernasib baik kerana mereka agak goyah malam ini (semalam).

“Kita dapat satu mata tetapi berdasarkan statistik kita sebenarnya memperoleh banyak peluang… Saya tidak minta satu atau tiga mata tapi hanya minta mereka melakukan yang terbaik pada aksi ini.

“Pujian harus diberikan kepada Rufino atas sumbangannya apatah lagi ketika ramai pemain utama kita masih tidak dapat diturunkan,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×