KETEGANGAN yang meruncing antara dua negara nuklear, India dan Pakistan dilihat akan berlanjutan sekiranya tiada tindakan proaktif dan perbincangan langsung diambil kedua-dua negara.
Hal ini berikutan daripada tindakan susulan kedua-dua negara yang mana saling mendesak dan menekan antara satu sama lain susulan serangan bom bunuh diri mengorbankan 42 tentera India di daerah Pulwama, Kashmir, 14 Februari lalu.
Seterusnya, insiden itu yang dipercayai didalangi kumpulan pemisah Jaish-e-Mohammad (JeM) yang berpangkalan di Pakistan dipercayai memberi kesan kepada penduduk Kashmir di India berikutan sentimen anti-Kashmir yang dijaja oleh pihak-pihak tertentu.
LATAR BELAKANG KONFLIK
KASHMIR yang menjadi satu daripada kawasan tercantik di dunia menjadi pertikaian antara India dan Pakistan sejak pemecahan India pada 1947.
Bahagian selatan dan tenggara wilayah itu membentuk Jammu dan Kashmir dibawah pentadbiran India manakala utara dan barat dikawal Pakistan.
Kedua-dua negara itu telah bertempur dalam tiga peperangan untuk mengawal wilayah Kashmir di samping kumpulan pemisah tempatan yang berjuang bagi penggabungan kawasan itu dengan Pakistan atau kemerdekaan mereka.
REAKSI INDIA
Serangan bom itu memberi tekanan kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi yang berdepan dengan pilihan raya umum beberapa bulan lagi untuk mengambil pendirian tegas terhadap kejadian berkenaan.
Modi berjanji bahawa pihak yang bertanggungjawab dalam pengeboman itu ‘akan membayar harga yang cukup mahal’.
Selain itu, India juga mendesak agar Pakistan diletakkan dalam senarai pemantauan negara membiayai keganasan.
Bahkan, mereka merancang untuk menyekat aliran air Sungai Indus ke Pakistan sebagai usaha untuk memberi tekanan.
REAKSI PAKISTAN
Pakistan pula bersedia membantu India menyiasat serangan bunuh diri di Kashmir itu namun ia ditolak India yang meminta mereka melakukan tindakan konkrit dan jelas terhadap dalang serangan berkenaan.
Perdana Menteri, Imran Khan berkata, mereka akan bertindak balas sekiranya India menyerang Pakistan dan meminta India memberikan bukti penglibatan Islamabad dalam serangan tersebut.
Menurutnya, jika terdapat kumpulan militan yang menggunakan tanah Pakistan untuk melancarkan serangan, maka permusuhan itu adalah dengan mereka.
CAMPUR TANGAN ANTARABANGSA
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres meminta India dan Pakistan mengambil langkah segera untuk meredakan ketegangan semakin memuncak yang dilihat turut meningkatkan krisis diplomatik dan konflik antara kedua-dua negara tersebut.
Amerika Syarikat (AS) pada masa sama menyatakan sokongan kepada India dan meminta Pakistan menghukum dalang di sebalik serangan bom berkenaan.
IMPAK DOMESTIK
Kebanyakan daripada kira-kira 11,000 pelajar Kashmir yang menuntut di universiti-universiti India pulang ke kampung halaman mereka pada setiap tahun kerana bimbang dengan serangan ganas jika terus tinggal di India.
Rakaman video penduduk Kashmir dipukul dan menerima cemuhan di bandar-bandar India tular dalam media sosial di samping desakan kumpulan Hindu dan sami untuk bertindak balas ekoran serangan itu.
Meskipun Kementerian Dalam Negeri India mengarahkan agar kerajaan negeri melindungi pelajar-pelajar Kashmir namun beberapa pemimpin politiknya telah membangkitkan secara agresif sentimen anti-Kashmir sejak kejadian pengeboman berkenaan.
Sehubungan itu, hubungan India-Pakistan akan terus tegang sekiranya tiada perbincangan antara kedua-dua negara dalam mencari penyelesaian mengenai kumpulan pemisah yang menjadi dalang serangan bom terbabit.











