SHAH ALAM – Seramai 105 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi bersepadu pelbagai agensi sekitar Sri Muda dan Seksyen 25 di sini hari ini.
Operasi yang bermula kira-kira pukul 7.30 pagi itu dijalankan oleh sepasukan anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dengan kerjasama Jabatan Imigresen Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, operasi selama tujuh jam itu dilakukan untuk membanteras lambakan PATI di kawasan berkenaan yang sebelum ini mendapat aduan daripada masyarakat setempat.
Menurutnya, seramai 339 warga asing telah diperiksa dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati 105 daripadanya telah melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Daripada 105 yang ditahan, seramai 55 warga Myanmar termasuk 10 wanita, Bangladesh (20), Indonesia (12), Pakistan (13 orang), India empat dan seorang warga Nepal.
“Kesemua yang tahan ini kemudiannya dibawa ke Lokap Berpusat Shah Alam untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Baharudin berkata, pihaknya turut menerima beberapa laporan berkaitan perbuatan jenayah di kawasan terbabit melibatkan kalangan warga asing seperti pergaduhan semasa mereka sehingga menyebabkan kematian.
Sehubungan itu katanya, operasi sedemikian akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha mengesan mereka yang terlibat dalam kes jenayah dan seumpamanya. – K! ONLINE











