203,300 individu, syarikat sudah isytihar pendapatan- LHDN - Utusan Malaysia

203,300 individu, syarikat sudah isytihar pendapatan- LHDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Kira-kira 203, 300 individu dan syarikat sudah mengisytiharkan pendapatan mereka melalui Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) yang diperkenalkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) setakat minggu lalu. 

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 32,300 orang berbanding hanya seramai 171,000 sebelum ini. 

Beliau berkata, PKPS yang mensasarkan kutipan pendapatan kerajaan sebanyak RM10 bilion dengan peruntukan penalti yang dikurangkan kepada 10 peratus bagi pendapatan yang tidak dilapor sepenuhnya bermula November tahun lalu sehingga 31 Mac dan penalti 15 peratus bermula 1 April hingga 30 Jun.   

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kutipan setakat ini saya belum ada sebarang jumlah yang tepat lagi tetapi difahamkan jumlahnya agak memberangsangkan kerana ada yang membayar sekali gus dan beransur-ansur. 

“PKPS juga sebenarnya khas disasarkan kepada individu atau syarikat yang mempunyai akaun di luar negara dengan sumber dana yang ada dalam akaun tersebut datang dari negara ini yang masih belum dilapor atau dikenakan cukai,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini. 

PKPS merupakan saranan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semasa pembentangan Belanjawan 2019 lalu dengan sasaran kutipan cukai sebanyak RM147 bilion pada tahun ini berbanding RM137 bilion yang dikutip pada tahun lalu. 

Mengulas lanjut, Sabin berkata, antara cabaran yang perlu dihadapi adalah menyampaikan program PKPS kepada segenap lapisan masyarakat terutamanya yang layak dikenakan cukai. 

“Cabaran utama yang dihadapi melalui program ini adalah menggalakkan pembayar cukai berlaku jujur berhubung pendapatan yang tidak diisytiharkan di samping membina kepercayaan serta mengurus persepsi dalam kalangan mereka,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×