SEREMBAN 24 Feb. – Seorang penagih dadah diberkas polis semasa cuba mencuri patung berhala jenis tembaga di sebuah rumah di Kampung Datuk Mansor, Taman Seri Pulasan, Jalan Rasah dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian pecah rumah di lokasi berkenaan.
“Polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam memaklumkan kejadian pecah rumah itu pada pukul 4.15 pagi.
“Beberapa buah kereta peronda polis telah dihantar ke tempat kejadian. Hasil pemeriksaan mendapati suspek berada di dalam rumah tersebut lalu anggota polis bertindak menahannya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Hock Poh berkata, siasatan awal mendapati suspek cuba mencuri patung berhala bernilai kira-kira RM300 milik tuan rumah berkenaan.
Ujarnya, semasa kejadian pemilik rumah tiada di kediaman tersebut dan suspek yang positif dadah jenis Methamphetamine ditemukan sedang bersembunyi di bahagian ruang dapur.
Menurut beliau, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 27 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana jenayah pecah rumah.
Hock Poh bagaimanapun menafikan kes itu mempunyai kaitan dengan kejadian patung berhala yang diletakkan di surau oleh pihak tidak bertanggungjawab di Klang, Selangor baru-baru ini.
“Siasatan setakat ini mendapati kes berkenaan tiada kaitan dengan mana-mana kes lain,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











