KATA orang, jodoh adalah rahsia Tuhan yang tersimpan kemas dan tidak diketahui makhluk-Nya. Atas sebab itu, tiada siapa yang menyangka perkenalan selama lima bulan itu sudah ke peringkat penyatuan dua jiwa.
Benar, percintaan antara pelakon Nadia Brian dan Mu’izz Nasruddin yang masing-masing berusia 28 tahun itu sepantas halilintar yang menyambar. Bagaikan mendapat rahmat, perjalanan cinta itu dipermudahkan.
Bermula dari saat awal pertemuan empat mata sekitar Oktober tahun lalu, pelakon drama Akulah Balqis ini kemudiannya dirisik keluarga lelaki berkenaan. Semuanya berlaku dalam tempoh tiga bulan sahaja.
“Saya sendiri tidak menyangka percintaan ini berjalan lancar. Kami mampu untuk bersependapat dalam banyak perkara. Barangkali inilah yang orang kata jodoh,” kata Nadia membuka bicara.
Kesempatan bercuti bersama keluarga besar pengurus akaun di sebuah syarikat teknologi terkemuka itu di Eropah selama 15 dimanfaatkan sepenuhnya. Di situ, dia cuba mengenali hati budi secara mendalam.
Majlis perjumpaan keluarga yang bermula dari 31 Januari ke 15 Februari lalu itu juga membawa Nadia melawat tempat menarik sekitar kota London dan Paris.
Dalam siri percutian itu telah terjadi satu kejutan manis yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Nadia dilamar Mu’izz dalam suasana penuh romantis berlatar belakangkan Menara Eiffel.
“Selama ini saya hanya menonton detik indah wanita dilamar di lokasi popular pasangan kekasih sedunia itu di televisyen. Dalam hati, alangkah seronoknya kalau saya dapat peluang itu.
“Tiba-tiba saya pula yang mengalaminya. Memang tak tergambar kegembiraannya yang macam mana. Perasaannya sangat berlainan dan saya sangat teruja,” katanya sambil mengenang detik yang terjadi pada 8 Februari itu.
Sebagai persediaan awal menuju perkahwinan mereka yang bakal berlangsung kelak, pasangan ini membuat sesi fotografi pra perkahwinan di Paris. Mu’izz membuat kejutan itu dengan berpakat bersama jurugambar tempatan waktu itu.
Pasangan ini akan mengadakan majlis pertunangan yang bakal berlangsung pada awal Mei ini di kediaman Nadia di Puchong, Selangor.
Sependapat
SATU faktor utama yang menyebabkan pelakon drama Cik Serba Tahu ini tertarik dengan kekasihnya adalah sifat budiman lelaki itu. Dia memiliki hati yang sarat dengan kasih sayang dan pentingkan keluarga.
Selain itu, dia juga mampu untuk bersependapat dengan Mu’izz dalam apa jua perkara. Komunikasi yang berlangsung antara keduanya juga berjalan lancar dan mampu untuk membincangkan apa jua topik semasa.
“Dengan dia, saya menjadi diri sendiri. Tak pernah menyembunyikan apa-apa dan bebas untuk melakukan apa sahaja. Keadaan itu membuatkan saya lebih selesa untuk terus berada di sisinya.
“Sikap telus dia menjadikan saya lebih yakin bahawa Mu’izz adalah calon ketua keluarga yang harus dipilih. Tidak perlu tunggu lama lagi dalam penantian mencari jodoh ini,” katanya.
Pasangan ini berkenalan menerusi rakan baik Nadia, pelakon Ainul Aishah pada 2016. Bagaimanapun hubungan mereka semakin rapat selepas Mu’izz mengajak wanita itu keluar sekitar Oktober lalu.
Urusan penyatuan Nadia-Mu’izz tidak akan dilengahkan kerana masing-masing sudah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan. Mengikut perancangan keluarga, mereka bakal disatukan pada November ini.
Sekiranya berlaku halangan pada bulan pilihan berkenaan, mereka akan menangguhkan perkahwinan pada awal tahun hadapan. Semuanya bergantung kepada keadaan dan izin daripada-Nya.
Tidak akan kongkong – Mu’izz
Sudah bersedia ke untuk menerima tempias popular golongan selebriti apabila hubungan anda diketahui umum?
Sudah semestinya. Saya menghormati bidang profesion Nadia yang menjadi tumpuan masyarakat itu. Sama ada kena tempias atau tidak, itu adalah perkara normal buat seseorang yang terlibat sama dalam dunia artis.
Selepas ini anda bercadang untuk mengehadkan aktiviti Nadia?
Langsung tidak. Saya tidak akan mengongkong dia sebab tahu bidang lakonan adalah kegemaran dan punca pencarian utamanya. Dia boleh berlakon asalkan menjaga batas-batasnya. Saya yakin dia lebih arif dalam urusan membabitkan kerjayanya itu.
Apa sebenarnya yang membuatkan Mu’izz tertarik dengan Nadia berbanding gadis lain?
Saya sekadar mengikut kata hati. Dalam diri ini kuat mengatakan dialah wanita yang saya cari selama ini. Memang kedengaran klise. Tapi apabila niat untuk mencari teman hidup itu dipermudahkan-Nya, itu yang buat saya percaya, she’s the one.
Percepatkan move on
Rasanya baru sahaja Nadia putus cinta dengan bekas kekasih sekitar Jun tahun lalu. Tup-tup dah dapat pengganti baharu?
Benar saya sendiri tidak menyangka ia terjadi sebegitu cepat. Dalam tempoh kurang lima bulan, saya sudah bertemu dengan orang baharu, sambut cinta pula itu. Memang satu keputusan yang agak berat sebenarnya.
Maksudnya, Nadia sudah jangka bakal bercinta kembali dalam tempoh cepat?
Tidak. Saya sendiri memerlukan masa untuk mengubat kelukaan hati dek kegagalan percintaan lalu. Tapi dalam hal itu, saya tidak mengambil masa yang lama. Maksudnya, saya mempercepatkan tempoh move on saya. Tak nak terlalu lama menjeruk perasaan. Saya berdoa banyak-banyak agar percintaan (dengan Mu’izz) ini berjaya ke jenjang pelamin.
Sekarang ini barulah Nadia percaya dengan istilah bertemu jodoh?
Betul, ia adalah satu perkara yang ajaib. Siapa sangka lelaki asing yang dikenali dalam tempoh beberapa bulan itu bakal menjadi suami kita. Sekali gus saya percaya bahawa setiap jodoh itu milik Tuhan.











