KUALA LUMPUR 22 Feb. – Golongan pencinta sastera Melayu tidak boleh berada dalam dunia kecil dan bergaul sesama kelompok mereka sahaja jika ingin memartabatkan bahasa kebangsaan.
Impak daripada keterasingan itu menyebabkan kedudukan bahasa dan kesusasteraan Melayu terus dianaktirikan dalam kalangan generasi muda malah lebih menyedihkan ia berlaku di tanah air sendiri.
Sasterawan Negara, Datuk Dr. Ahmad Khamal Abdullah berkata, golongan sastera perlu turun ke bawah dan mendekati masyarakat khususnya di kawasan pedalaman tanah air seterusnya memperkenalkan karya masing-masing.
“Kita kena cari inisiatif sendiri memperkenalkan karya sendiri kepada masyarakat, jika tidak sampai bila-bila pun hasil tulisan kita itu hanya kekal di almari seterusnya lapuk dimamah lipas dan tikus.
“Tak usah menunggu tawaran badan-badan korporat atau agensi kerajaan, sebaliknya kumpul karya-karya sendiri dan menyerahkan kepada mana-mana sekolah pedalaman supaya dapat dijadikan bahan bacaan murid atau pelajar di sana,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Jalan Klang Lama, di sini hari ini.
Ahmad Khamal atau lebih dikenali dengan nama penanya Kemala terkenal menerusi puisi bertemakan rakyat bawahan seperti nelayan dan petani kini aktif menyerahkan buku-buku tulisannya ke beberapa sekolah pedalaman di Sandakan, Sabah.
Mengulas lanjut, Ahmad Khamal yang juga Presiden Persatuan Sasterawan Nusantara Melayu Raya (Numera) berkata, kedudukan sastera Melayu ketika ini ibarat empangan pecah dan ia harus dijadikan cabaran untuk diperkasakan semula seperti pada tahun 1960-an.
Kata beliau, ia bukanlah mustahil jika masing-masing iaitu kerajaan dan para pemimpin bersikap tegas mengangkat karya sastera Melayu dalam semua agenda rasmi negara.











