Ledakan adrenalin Hyukoh - Utusan Malaysia

Ledakan adrenalin Hyukoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Luar biasa dan mengujakan! Itu terjemahan dapat dizahirkan menerusi penulisan untuk menyimpulkan atmosfera persembahan band indie popular dari Korea Selatan, Hyukoh baru-baru ini.

Hyukoh bertandang ke Kuala Lumpur pada malam Rabu lalu sempena penganjuran konsert siri jelajahnya di beberapa negara Asia termasuk Singapura, Taiwan, Thailand dan Hong Kong.

Dianggotai empat ahli iaitu Oh-hyuk di posisi vokalis dan gitar, Lim Hyun-jae (gitar utama), Im Dong-geon (bass) dan Lee In-woo (dram), Hyukoh tampil penuh tenaga dengan seleksi lagu popular mereka pada persembahan yang berlangsung di KL Live At Life Centre.

Memuatkan artikel berkaitan…

Biarpun aliran muzik yang dibawanya agak lari daripada kebiasaan artis K-Pop lain, namun ternyata Hyukoh memiliki kelompok peminat tersendiri yang gemarkan muzik berjalur rock progresif.

Memulakan persembahan tepat pukul 9 malam, Hyukoh tidak menunggu lama untuk menghiburkan penonton yang teruja membanjiri seisi dewan bagi melihat persembahan yang dibawakan oleh U Mobile dengan sokongan Upfront Arena tersebut.

Tampil dengan aura seorang penghibur, Hyukoh menerusi vokalisnya Oh-hyuk mendendangkan lagu-lagu seperti Skyworld, Wi Ing Wi Ing, Graduation, Panda Bear, 2002 dan Wanli yang dipetik daripada beberapa album mereka sebelum ini.

Oh Hyuk dilihat lebih gemar menyambung persembahan daripada sebuah lagu ke lagu yang lain tanpa henti sambil memetik gitar.

Situasi sebegitu yang menjadikan persembahan Hyukoh penuh konsisten ditambah dengan kehangatan sorakan peminat yang turut menyanyi sepanjang satu jam setengah persembahan berlangsung.

“Malam ini kami hadiahkan kepada anda seleksi lagu daripada album terbaharu 24: How To Find True Love and Happiness,” ujar Oh-hyuk.

Hanya selepas satu jam berlalu, barulah mereka mengambil sedikit masa berehat dan menukar pakaian sebelum menyambung persembahan dengan seleksi lagu yang lebih rancak sehingga mengundang keterujaan peminat untuk turut menari.

Sama ada Hyukoh mahupun peminat yang hadir, adrenalin semua yang memenuhi ruang Life Center pada malam tersebut memuncak apabila petikan gitar dan dentuman dram rancak menghangatkan suasana, diikuti dendangan seleksi hit berjudul Citizen Kane, Hooke, Goodbye Seoul, Ohio, Gang Gang, Gondry, Tomboy, Love Ya! dan Tokyo Inn oleh Oh-hyuk.

Indie, rock

Memilih mengakhiri persembahan dengan lagu Comes and Goes dan Settled Down daripada album 22, Hyukoh telah meninggalkan sebuah persembahan yang cukup manis untuk dikenang peminatnya di negara ini.

Seperti yang pernah disuarakan Oh-hyuk menerusi wawancara bersama Dazed, populariti bukanlah objektif utama dirinya bergelar penyanyi. Sebaliknya lelaki berusia 26 tahun itu menyifatkan muzik yang dihasilkannya lebih bersifat peribadi.

“Saya berbicara mengenai jatuh bangun dalam hidup menerusi lagu. Niat saya cuma untuk berkongsi mengenainya kepada semua,” katanya.

Ketika ramai artis lain membawa aliran muzik pop, Hyukoh yang ditubuhkan pada tahun 2014 memilih untuk menongkah arus apabila memperjuangkan muzik rock yang lebih progresif atau lebih dikenali sebagai K-Rock.

Pendirian Hyukoh ketara berbeza bukan sahaja pada pegangan genre muzik, bahkan visual estetik mereka turut menjadi perhatian terutamanya dari segi gaya pakaian dan penghasilan klip video yang disifatkan urban dan segar.

Memetik laporan Metro.co.uk, Oh-hyuk sendiri menyedari, komuniti peminat muzik yang lebih gemar menggelarkan diri sebagai pengikut indie di Korea Selatan sangat kecil sehinggakan tidak ramai yang mengetahui tentang artis yang memperjuangkan genre sebegitu

“Pada mulanya, saya terfikir untuk bergerak solo tetapi muncul idea untuk menubuhkan sebuah band. Jadi, saya bertemu rakan-rakan seorang demi seorang dan dari situlah kami menubuhkan reformasi Hyukoh.

“Kami bermula di daerah Hongdae tetapi pada waktu itu penerimaan muzik indie di Korea Selatan sangat kecil. Lama-kelamaan, kehadiran kami diterima baik,” ceritanya.

Biarpun mengakui elemen muzik pegangan mereka dipengaruhi band popular Barat iaitu The Beatles dan The Whitest Boy Alive, Oh-hyuk bagaimanapun meletakkan kebebasan kepada peminat untuk menentukan hala bunyi muzik mereka.

“Saya tidak pasti bagaimana untuk menerangkan bunyi sebenar band kami, jadi lebih baik perdengarkan lagu kami kepada orang yang tidak dikenali dan mereka boleh beritahu kami bagaimana bunyi itu.

“Kami mengambil inspirasi daripada bermacam perkara termasuk makanan, ketika berjalan, bermeditasi, ketika bertemu orang baharu, di dalam kapal terbang atau ketika berada di luar negara,” katanya.

Antarabangsa

Berpegang kepada aliran muzik yang tidak mengikut arus semasa, namun Oh-hyuk tidak memandang muzik K-Pop yang sedang merajai dunia ketika ini sebagai sesuatu yang negatif.

Baginya, dari beberapa sudut, mereka turut menerima tempias kebaikan dan membantu memperkenalkan nama mereka di mata dunia.

“Suasana ini sangat bagus, tetapi tiada perkara yang akan kekal. Akan sampai masanya K-Pop tidak lagi popular. Jika masa itu tiba, kami harap band ini akan tetap popular meskipun kami bukanlah pejuang muzik K-Pop,” ujarnya penuh makna.

Oh-hyuk dibesarkan di beberapa buah bandar di utara China (Jilin, Shenyang dan Beijing) oleh kedua ibu bapanya yang bekerja sebagai profesor universiti.

Pada tahun 2002, dia berpindah ke Korea Selatan untuk mencapai cita-citanya bergelar pemuzik meskipun mendapat bantahan keras daripada orang tua.

Kebolehan menguasai tiga bahasa iaitu Mandarin, Korea dan Inggeris ditambah dengan pendedahan terhadap pelbagai budaya sepanjang membesar memberi pengaruh besar terhadap gaya muzik dan penulisan liriknya.

Selain terkenal di Korea Selatan, Hyukoh juga aktif menyertai banyak festival muzik antaranya di China dan Jepun. Dalam perkembangan lain, pada April depan Hyukoh bakal beraksi di pentas Festival Coachella bersama kumpulan popular Blackpink.

Mereka bakal beraksi di samping barisan artis ternama Hollywood yang lain antaranya Ariana Grande, Tame Impala, Janelle Monae, Solange, Aphex Twin dan J Balvin.

Menerusi satu temu bual bersama portal Bandwagon, Hyukoh menyatakan keterujaan mereka kerana dapat bermain muzik di festival besar tersebut dan menganggap peluang tersebut sebagai salah satu pencapaian terbesar dalam karier mereka.

“Kami sangat gembira. Saya rasa seperti mahu berlari dan berteriak mengenainya kepada semua orang,” ujar Oh-hyuk.

Pencapaian lain yang pernah diraih Hyukoh adalah menerusi album 23 yang dilancarkan pada April 2017. Sebulan kemudian, album berkenaan menduduki tempat keenam carta Billboard untuk kategori World Albums Chart.

Bertandang ke Kuala Lumpur sempena penganjuran Hyukoh How To Find True Love and Happiness malam Rabu lalu, kumpulan indie rock popular dari Korea Selatan, Hyukoh membuktikan aliran muzik yang mereka perjuangkan mampu pergi jauh, setanding muzik K-Pop yang kini menjadi kegilaan seluruh dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini