MULA beroperasi sejak dua tahun lalu, restoran Rumah Makan Terlajak Laris (RoTL) bukanlah sesuatu yang asing kepada penduduk di sekitar Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Restoran milik jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman itu terkenal sebagai tempat makan yang menyajikan pelbagai hidangan popular tempatan dan seberang laut.
Dianggarkan terdapat lebih 250 jenis hidangan ditawarkan di RoTL termasuk dari Johor, Pulau Pinang, Kedah, Pahang, Kelantan, Sarawak, Indonesia, Thailand, Arab dan Singapura.
Pengurus Cawangan RoTL, Mohd. Syazwan Roslan berkata, restoran itu mengetengahkan konsep himpunan sajian tradisi sama ada tempatan mahupun luar negara.
“Restoran ini boleh dianggap sebagai sebuah tempat makan yang lengkap dengan pelbagai jenis makanan popular.
“Ini sedikit sebanyak dapat membantu memudahkan pelanggan mendapatkan hidangan kegemaran mereka di bawah satu bumbung,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.
Antara hidangan popular di RoTL ialah aneka asam pedas dan pelbagai hidangan nasi termasuk nasi Arab, kukus, ayam penyet, sotong penyet, ikan siakap bakar petai dan ayam masak lemak.
Semua hidangan berkenaan dihasilkan dan diolah sendiri oleh Aliff Syukri mengikut cita rasanya yang tersendiri.
Konsep gerai
Menariknya, sajian berkenaan disediakan oleh 18 buah gerai berasingan yang beroperasi di sekeliling restoran berkenaan.
“Setiap gerai di sini dikendalikan oleh tukang masak yang dipilih sendiri oleh Aliff Syukri. Mereka mempunyai kemahiran tersendiri dalam menyajikan hidangan di gerai ini.
“Kami juga menggalakkan mereka bersaing sesama sendiri bagi memastikan kualiti makanan sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya sambil memaklumkan, RoTL mampu memuatkan sehingga 200 orang pada satu-satu masa.
RoTL juga menawarkan beberapa hidangan sampingan yang menyelerakan seperti rojak pasembur pineng, fruity waffle tauhu bergedel, bihun sup dan mi celup.
Tidak lengkap hidangan kiranya tanpa minuman dan RoTL memberikan pilihan air popular iaitu mango float, tiga lapisan dan blue lagoon fantasi.
“Fruity waffle merupakan sajian pemanis mulut yang menjadi pilihan ramai. Selain rasanya yang enak, ia juga hadir dengan harga cukup berpatutan,” katanya.
Harga makanan di RoTL adalah sekitar RM5 sehingga RM28 mengikut menu pilihan pelanggan.











