PELAKON Janna Nick enggan memberi sebarang komen apabila timbul dakwaan dirinya menjadi individu yang diperli penerbit dan pelakon Sheila Rusly menerusi Instagramnya.
Merujuk terhadap dua keping gambar berserta kapsyen yang dimuat naik Sheila beberapa hari lalu, pelbagai spekulasi menjadi buah mulut netizen. Ada yang mendakwa kapsyen yang ditulis Sheila ditujukan buat Janna berhubung kualiti drama lakonannya, Leftenan Zana yang bersiaran di TV3 sejak 8 Februari lalu.
“Kalau rasa nak tengok silakan, mungkin tak sehebat yang diharapkan…,” tulis Sheila pada gambar yang memperlihatkan dirinya berseragam tentera.
Menerusi sekeping lagi gambar berasingan memaparkan Sheila bersama suaminya, Jinggo, penerbit itu meleraikan makna teraju utama yang sering mengundang salah faham. Katanya, teraju utama merujuk kepada pengarah bukannya pelakon utama.
Enggan mengulas lanjut, Janna sebaliknya menyifatkan Sheila dan seluruh produksi JS Pictures milik wanita itu sudah seperti keluarga sendiri. Selama ini, Sheila bukan sahaja penerbit yang banyak memberi peluang bahkan bertindak sebagai mentor buat dirinya.
Ikuti penjelasan daripada pelakon itu ketika ditemui pada sidang akhbar DFKL2019 baru-baru ini.
KOSMO!: Boleh komen sedikit tentang penglibatan Janna dalam drama bersiri Leftenan Zana yang kini sedang ditayangkan?
JANNA NICK: Drama ini adalah naskhah yang paling mencabar sepanjang karier saya. Bukan kerana saya perlu berlakon menjadi askar, tetapi dalam drama ini, saya perlu menjalani latihan seperti seorang askar yang sebenar. Saya akui hampir putus asa tetapi apabila difikirkan semula tidak mahu menyusahkan orang lain, jadi saya teruskan sehingga tamat. Barulah saya sedar, tugas tentera bukannya mudah dan apa yang mereka lalui sepanjang latihan sangat mencabar. Bayangkan, saya perlu berlari sejauh 5 kilometer selama dua jam. Bukan mudah untuk menyarung seragam itu, jadi perlulah rasa situasi sebenar seorang askar.
Apakah perubahan fizikal yang berlaku terhadap anda sepanjang penggambaran?
Badan menjadi sasa dan timbul otot kerana sepanjang latihan ada bermacam aktiviti lasak perlu dilakukan. Paling mencabar adalah bahagian mengangkat kayu balak seberat hampir 300 kilogram (kg). Alhamdulillah tiada sebarang kecederaan teruk cuma ada sedikit lebam-lebam pada bahagian badan.
Sesetengah orang enggan berlakon dalam naskhah sebegitu kerana memberi kesan terhadap warna kulit. Apa pula komen anda?
Saya sangat berterima kasih terhadap drama ini sebab mencetuskan idea untuk saya mengeluarkan produk pembersih dan pemutihan White Fluffy. Memang betul sebagai artis kami perlu menjaga kulit. Kulit saya memang jadi hitam tetapi alhamdulillah sekarang sudah pulih.
Adakah anda serik untuk berlakon dalam drama seperti ini lagi kelak?
Tidaklah serik tetapi untuk saya menerima naskhah sebegini mungkin mengambil tempoh yang agak lama, sebab memerlukan kerahan tenaga dan emosi. Cuma saya sangat terharu dan sebak sebab segala penat lelah selama sebulan ketika berada di kem tentera akhirnya berbaloi selepas drama ditayangkan.
Menerusi Twitter baru-baru ini, pemakaian uniform tentera oleh anda dan pelakon lain dalam drama berkenaan didakwa tidak mengikut cara yang betul. Apa komen anda?
Mereka membuat ulasan berdasarkan sekeping gambar promosi daripada Leftenan Zana. Tetapi gambar tersebut hanyalah cadangan tetapi iklan acah (teaser) bagi drama tersebut. Rasanya, bagus juga perkara itu ditularkan sebab dari situ drama ini mendapat perhatian walaupun apa yang diperkatakan itu salah.
Baru-baru ini timbul dakwaan mengatakan Sheila ada memerli anda di Instagram. Boleh komen berkenaan perkara tersebut?
Kalau bab itu, saya tidak mahu komen. Sebab saya hormati JS Pictures yang banyak membantu saya sejak dari awal karier. Mereka adalah orang yang paling saya hormat dalam industri, jadi saya tidak layak untuk beri apa-apa komen.
Pernahkah anda berhubung dengan Sheila berkenaan perkara tersebut?
Saya ada bertanya tetapi maklum balas yang saya dapat bukanlah sesuatu yang negatif. Saya hanya akan ulas perkara itu sekiranya ada pihak yang memberi kenyataan. Adalah lebih baik jika kenyataan diperoleh daripada mereka.
Jadi bagaimana dengan hubungan kalian setakat ini?
Soal hubungan pun saya tiada komen untuk jawab, maaf.











