SHAH ALAM – Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Darrel Leiking menyifatkan segelintir ahli politik di Sabah yang lantang mengkritik parti itu sebelum ini sebagai orang lemah sehingga sanggup menggunakan laluan belakang bagi menyertai kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, kumpulan ahli politik itu terpaksa akur bahawa kerajaan yang ada sekarang merupakan pilihan utama mereka meskipun sebelum ini menghina dan memalukan Warisan.
“Bagi saya sebagai ahli politik, mereka itu tidak dapat tahan seperti kami (Warisan) yang teguh menjadi pembangkang (sebelum Pilihan Raya Umum ke-14). Kita faham mereka yang lemah ini iaitu merujuk kepada yang kuat mengkritik sebelum ini terpaksa menjadi ahli (politik) kerajaan (sedia ada) menerusi pintu belakang.
“Terus-terang saya cakap sewaktu kami menjadi pembangkang dahulu, tempohnya agak lama tetapi kami bertahan walaupun banyak jemputan (daripada) mereka ketika itu supaya menyertai kerajaan. Tidak seperti mereka yang tidak mampu menjadi pembangkang sekarang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan segelintir ahli politik Sabah yang akan menyertai PH Bersatu sehingga mengakibatkan jumlah pembangkang di Sabah berkurangan.
Darrel yang merupakan Ahli Parlimen Penampang menegaskan kemasukan Bersatu ke Sabah telah dijelaskan oleh Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan tiada isu berkaitannya lagi.
Ujar beliau, fokus utama kini adalah membangunkan Sabah.
“Kita menerima mereka dan berharap kumpulan itu dapat belajar daripada kerajaan negeri Sabah yang diketuai Shafie.
“Ini termasuk bagaimana Warisan dan PH menyerapkan manifesto dan prinsip sedia ada dalam perjuangan mereka,” katanya.
Terdahulu beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri melakukan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam membincangkan isu berkaitan pembangunan, perindustrian dan pelaburan di peringkat negeri Selangor. – K! ONLINE











