SEMENYIH 21 Feb. – Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap rakyat tidak menyalahtafsirkan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung jumlah penjawat awam terlalu besar dan perlu dikurangkan.
Menurut Menteri Dalam Negeri itu kenyataan tersebut perlu dilihat dengan teliti dan difahami secara mendalam.
“Kenyataan yang perdana menteri buat beliau tidak kata mengurangkan begitu (mendadak), tetapi beliau jelaskan mungkin (perlu) ada anjakan baharu, ada perubahan yang perlu berlaku (seperti) proses industrialisasi dan penggunaan teknologi.
“Anda perlu fahaminya dalam konteks lebih luas,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di sini hari ini.
Pada sesi dialog bersama warga Angkatan Tentera Malaysia di Kuala Lumpur hari ini, Dr Mahathir berkata ketika ini 1.7 juta rakyat Malaysia bekerja dalam sektor awam dan saiz itu terlalu besar serta perlu dikurangkan.
Muhyiddin menegaskan beliau sendiri tidak bersetuju sekiranya saiz perkhidmatan awam dikecilkan dalam masa terdekat.
“Saya tak setuju kalau kata Tun (Dr Mahathir) nak kurangkan (penjawat awam) hari ini, saya tidak setuju, kerana saya fikir pegawai kerajaan masih penting. Tetapi ia akan melalui satu fasa dan fasa ini bukan ringkas, bukan setahun dua dan sebagainya, ia (tempoh) mendatang,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata masalah yang dihadapi oleh Felda dan FGV Holdings Berhad sekarang berpunca daripada salah laku pihak pengurusan dan kerajaan terdahulu.
“Yang patut jadi sasaran (ialah) bantu peneroka (supaya) maju tetapi peneroka menanggung beban hari ini,” katanya. – BERNAMA











