Sabah bangunkan sebuah lagi pelabuhan di Kudat - Utusan Malaysia

Sabah bangunkan sebuah lagi pelabuhan di Kudat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN 21 Feb. – Sabah dijangka mendapat sebuah lagi pelabuhan iaitu di Kudat untuk menampung kapasiti penggunaan pelabuhan di negeri ini berikutan jangkaan perdagangan yang meningkat di rantau ini dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie Apdal.
Mohd Shafie Apdal. 

Beliau berkata kerajaan negeri sedang menaik taraf pelabuhan sedia ada di negeri ini, yang dikendalikan oleh Sabah Ports Sdn Bhd di bawah Suria Capital Holdings Bhd.

Bagaimanapun, katanya bimbang kemudahan sedia ada tidak dapat menampung permintaan dalam jangka masa panjang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebab itu kita (kerajaan negeri) akan membangunkan pelabuhan di Kudat. Kita akan membuat kajian.

“Saya yakin perkara ini dapat direalisasikan mulai tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelabuhan Sandakan di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata pelabuhan di Kudat itu perlu dihubungkan dengan landasan kereta api kerana pengangkutan barangan kontena dari Kudat ke Kota Kinabalu tidak boleh bergantung kepada sistem jalan raya.

Beliau menjelaskan pengangkutan kereta api boleh membawa muatan berat dan menjimatkan masa selain dapat mengurangkan kos penyelenggaraan jalan raya.

Katanya kerajaan akan melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan sistem dagangan di negeri ini yang dikatakan “satu pihak”, berikutan kontena yang masuk ke Sabah sering keluar dengan muatan kosong.

“Dengan adanya inisiatif kerajaan negeri untuk membangunkan sektor perindustrian di negeri ini akan membolehkan mana-mana kapal yang datang dari luar, bukan sahaja membawa masuk (ke Sabah) produk dari luar, tetapi akan membawa produk Sabah keluar (untuk eksport),” katanya.

Menurutnya, Sabah Ports mengendalikan penerimaan kontena sekurang-kurangnya 350,000 TEU (bersamaan unit 20 kaki) setahun di seluruh negeri, dan 60 peratus daripadanya keluar dengan muatan kosong, bermaksud import melebihi eksport dari segi penggunaan kontena.

Mengenai Pelabuhan Sandakan, Mohd Shafie berkata pelabuhan bernilai RM129.4 juta itu dapat menampung keperluan meningkat di kawasan Sandakan bukan sahaja dari negara jiran seperti Filipina dan Indonesia, tetapi juga China dan Jepun.

Pelabuhan berukuran 495 meter panjang dan 65 meter lebar itu boleh menampung enam kapal dagang pada satu masa.

Selain Sandakan, Sabah Ports turut mengendalikan pelabuhan di Sepanggar, Lahad Datu dan Tawau. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×