KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakilinya gagal dalam usaha untuk mencabar pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes yang dihadapi mereka.
Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Azizah Nawawi, menolak dalam kamarnya, permohonan oleh Najib dan Muhammad Shafee bagi kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung pelantikan Sri Ram.
Najib diwakili oleh Muhammad Shafee sementara peguam Harvinderjit Singh mewakili Muhammad Shafee. Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan pula mewakili Jabatan Peguam Negara.
Dalam penghakimannya, Azizah berkata, permintaan yang dipohon dalam permohonan kebenaran oleh Najib dan Muhammad Shafee adalah serupa dengan permohonan yang dibuat oleh mereka di Mahkamah Tinggi Jenayah.
Hakim berkata, adalah lebih sesuai bagi isu ini (pelantikan Sri Ram sebagai pendakwa raya kanan) ditangani di Mahkamah Tinggi jenayah, kerana permohonan yang sama masih menunggu untuk didengar di mahkamah itu. – Bernama











