TAIPING 19 Feb. – Empat penunggang motosikal nyaris maut apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda terbabas lalu merempuh mereka yang sedang berteduh kerana hujan lebat di bawah jejantas di Kilometer 204.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.20 petang itu, seorang pelajar kolej, Umi Umairah Ahmad Salleh Hudin, 22, patah kaki dan paha manakala Siti Nur Atikah Yahaya, 22, pula cedera parah di kepala.

Dua lagi penunggang motosikal, Muhd. Fitri Zaini, 19, dan Muhd. Akmal Abdull Somat, 20, pula cedera di badan.
Pemangku Ketua Polis daerah, Superintenden Razlam Ab. Hamid berkata, kejadian berlaku ketika semua penunggang motosikal tersebut berada di bawah jejantas itu kerana berteduh ekoran hujan lebat.
Bagaimanapun, katanya, sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 29 tahun hilang kawalan lalu terbabas melanggar kesemua mereka.
“Akibat rempuhan itu, keempat-empat penunggang motosikal cedera dengan dua daripada mereka parah di kepala dan patah kaki serta paha.
“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan kecemasan. Pemandu kereta tersebut tidak cedera,” katanya di sini hari ini.











