HULU LANGAT 20 Feb. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu lebih proaktif dalam menangani kesalahan pilihan raya yang berlaku sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut bagi membolehkan PRK kali ini menjadi contoh kepada sebuah pilihan raya yang bersih dan adil buat semua calon bertanding.

“Saya minta supaya SPR memantau lebih rapi PRK kali ini sebab semalam saya di Kampung Kuala Pajam, kita dapat laporan pihak Pakatan Harapan (PH) edarkan sayur kepada penduduk kampung.
“Pemantauan perlu dilakukan sebab kita takut ada unsur-unsur menyalahi Akta Pilihan Raya dilakukan. Harap SPR lebih proaktif supaya jadikan PRK ini pilihan raya yang adil dan bersih,” katanya.
Pengarah Jentera PRK Semenyih BN itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat rumah penduduk di Kampung Sesapan Kelubi, Beranang di sini hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berpandangan, tiada keperluan untuk dianjurkan program debat di antara calon yang bertanding dan program sebegitu tidak lebih sekadar gimik semata-mata.
“Untuk perkenalkan diri, lebih baik turun dan jumpa pengundi seramai yang boleh, debat kadangkala hanya untuk gimik tapi tak sampai (maksud). Saya rasa itu lebih baik daripada berdebat,” katanya.











