SAUDARA PENGARANG,
WALAUPUN Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands sudah lama berlalu, saya rasa belum terlambat untuk mengucapkan tahniah kepada semua pihak terutama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menguruskan pilihan raya itu dengan jayanya.
Ada beberapa perkara yang menarik perhatian saya ketika itu termasuk peratusan keluar mengundi sebanyak 68.79% yang dikira tinggi dalam konteks PRK di negara kita sejak sekian lama.
Selain kerja keras petugas kempen dan SPR, saya percaya PRK itu berjalan lancar kerana wujud semangat kenegaraan tinggi dalam kalangan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka selaras dengan amalan demokrasi.
Hasilnya, dengan ketentuan Allah jua, calon Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya itu dengan mendapat majoriti 3,238 undi, mengatasi tiga calon lain.
Sesungguhnya komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh semua pihak menunjukkan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara kita mampu terus subur untuk selama-lamanya.
Hendaknya semangat seperti ini terus wujud ketika PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan PRK lain selepas ini dengan peratusan keluar mengundi yang tinggi seperti PRK Parlimen Cameron Highlands.
PEMERHATI POLITIK AMATUR
Kedah











