Guna WiFi awam berisiko data peribadi dicuri - Utusan Malaysia

Guna WiFi awam berisiko data peribadi dicuri

Polis menafikan mesej taktik penipuan baharu ‘Sim Swap’. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penggunaan sambungan internet menerusi jaringan tanpa wayar (WiFi) awam tanpa mekanisme atau perisian perlindungan seperti perisian antivirus atau fungsi ‘firewall’ tidak digalakkan kerana pengguna terdedah kepada risiko maklumat diceroboh pihak ketiga.

Pensyarah Kanan Jabatan Kepintaran Buatan (AI), Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya (UM), Dr. Aznul Qalid Md. Sabri berkata, masyarakat perlu peka dengan kelemahan penggunaan WiFi awam bagi mengelak maklumat perbankan diceroboh.

Menurut beliau, ini termasuk ketika individu mendaftar masuk akaun media sosial seperti Facebook, Twitter, e-mel, aplikasi perbankan melalui komputer dan rangkaian internet awam seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau KL Sentral.

“Orang ramai kena sedar penggunaan WiFi percuma di tempat awam mendedahkan diri anda kepada pengodam, yang memang menyasarkan pengguna WiFi awam.

“Jadi, lebih elok menggunakan jaringan internet sendiri,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak RM36 juta wang milik individu dan syarikat di dalam akaun bank diceroboh penjenayah.

Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada mangsa mendedahkan maklumat perbankan seperti nama pengguna dan kata laluan sama ada secara sengaja atau tanpa sedar.

Selain penceroboh akaun bank juga boleh menggunakan teknik ‘pishing’ memperdaya mangsa menerusi emel atau sistem perkhidmatan ringkat (SMS) untuk mencuri maklumat peribadi pemegang akaun.

Mengulas lanjut, Dr. Aznul berkata, orang ramai dinasihat berhati-hati ketika melayari laman web di internet dengan memastikan terteranya Hyper Text Transfer Protocol Secure (HTTPS) pada pautan laman untuk memastikan jaringan keselamatan lebih tinggi berbanding Hyper Text Transfer Protocol (HTTP).

HTTPS digunakan secara meluas dalam bidang teknologi maklumat yang berfungsi sebagai lapisan keselamatan dan membenarkan penghantaran, penerimaan maklumat serta data internet dengan selamat antara pelayar dan pelayan sesebuah laman web.

Selain itu, penggunaan perisian Virtual Private Network (VPN) dan pelayar berkeselamatan tinggi seperti The Onion Router (TOR) akan mengelakkan maklumat dan data diceroboh pihak ketiga melalui transaksi menggunakan WiFi awam.

Katanya, pengguna harus membersihkan kuki data pada peranti telefon dan komputer setiap kali selepas melayari internet bagi mengelakkan sesuatu laman web atau pengodam merampas kuki tersebut dan mendapat akses kepada sesi pelayaran penggun atau lebih teruk, mencuri maklumat peribadi pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×