BARCELONA – Pelumba Red Bull, Max Verstappen gembira dengan prestasi enjin baharu keluaran Honda musim ini selepas menjalani ujian pramusim Formula Satu (F1) bersama jentera RB15 di Litar Catalunya, Sepanyol kelmarin.
Seperti yang diketahui, Red Bull memilih untuk menamatkan kerjasama dengan Renault dan bersetuju untuk menggunakan enjin Honda. Perubahan tersebut dilakukan demi untuk memburu gelaran dunia selain mengurangkan jurang prestasi dengan Ferrari dan Mercedes.
“Pada hari pertama ini segalanya berjalan dengan cukup baik dan kami melakukan banyak pusingan untuk terus menguji jentera ini.
“Saya gembira dengan sesi ujian ini tetapi kami tidak boleh terlalu gembira kerana ia adalah kali pertama jentera ini diuji. Apa pun ia kerja yang cukup baik dan kami akan terus bekerja keras untuk mendapatkan hasil yang positif.
“Seperti pasukan lain, mereka juga masih dalam proses untuk mengenali jentera dan kami pula sedang menilai prestasi enjin baharu ini,” kata Verstappen.
Pada aksi pertama di Catalunya, dia menduduki posisi keempat dengan catatan terbaik 1 minit 19.426 saat selepas melakukan 128 pusingan.
Untuk rekod, pada musim lalu Verstappen dan bekas rakan sepasukannya Daniel Ricciardo sering berdepan masalah ketika menggunakan enjin Renault apabila sering gagal menamatkan perlumbaan.
Verstappen mengalami masalah enjin di Litar Hungaroring pada Julai lalu manakala Ricciardo yang kini bersama pasukan Renault mengalami masalah sama di GP Jerman. – Agensi











