KLUANG – Seorang penduduk terkejut selepas menemui sebutir bom dipercayai digunakan ketika perang dunia kedua di ladang kelapa sawit, Kampung Orang Asli Pengkalan Tereh, di sini hari ini.
Bom seberat kira-kira 45 kilogram dan berukuran 1.2 meter itu dijumpai satu kilometer dari kawasan perkampungan Orang Asli Pengkalan Tereh pada pukul 10.15 pagi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Abduh Ismail berkata, penemuan bom berkenaan kemudianya dilaporkan di Balai Polis Kampung Gajah dekat sini.
“Berikutan itu sepasukan pegawai dan anggota polis dikejarkan ke lokasi bagi mengelak orang ramai mendekati bom yang dipercayai masih aktif.
“Bom berkenaan akan dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom Bukit Aman,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai tidak menceroboh kawasan bom terbabit bagi mengelak kejadian tidak diingini. – K! ONLINE.











