KUALA LUMPUR 18 Feb. – Rakyat di Sabah khususnya penyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) disarankan untuk tidak beremosi berhubung keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mahu melebarkan sayapnya ke negeri itu.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sebaliknya semua pihak diminta memberi fokus dan tumpuan terhadap pembangunan demi kepentingan semua pihak khususnya rakyat di negeri ini.
“Saya sedar akan perasaan penyokong parti dan rakyat Sabah di atas keputusan Bersatu.

“Namun, nasihat saya adalah untuk tidak beremosi dengan keputusan tersebut dan kita perlu memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri ini demi kepentingan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.
Beliau mengulas berhubung pengumuman Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sidang akhbar Jumaat lalu, memaklumkan parti itu akan melebarkan sayapnya ke Sabah.
Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, pihaknya tidak boleh menghalang mana-mana pihak yang mahu menubuhkan parti di negeri tersebut.
“Berkenaan kemasukan Bersatu ke Sabah, kami tidak dapat menghalang mereka, atau mana-mana pihak lain untuk perkara itu.
“Ini kerana, undang-undang kami juga membenarkan parti-parti baharu dibentuk,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie berkata, pihaknya tetap akan bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti mana dilakukan sebelum ini.
“Walau bagaimanapun, kami sangat jelas dengan pendirian dan kedudukan parti ketika ini.
“Kami telah bekerjasama dengan PH sebelum dan selepas pilihan raya sehingga berjaya membentuk kerajaan Persekutuan. Oleh itu, kami tetap akan terus bekerjasama dengan mereka demi kepentingan rakyat,” jelasnya.











