PRODUK ubat gigi jenama syarikat kesihatan dan kecantikan, Aura White Global Sdn. Bhd. (Aurawhite) bakal memasuki rangkaian pasar raya besar, farmasi dan kedai-kedai runcit, di seluruh negara pada Mac ini.
Pengasas Aurawhite, Datin Nur Furyna Muhd. Azmeer berkata, ubat gigi Aurawhite terdapat dalam tiga variasi iaitu Aurawhite Whitening HD Bright and Shine, Aurawhite Coconut Charcoal dan Aurawhite Kayu Sugi Premium Toothpaste.
Usaha membawa produk yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu itu mengambil masa kira-kira enam bulan sebelum berjaya ditempatkan di kesemua cawangan pasar raya utama negara antaranya, Tesco, Giant, Mydin, Econsave selain Watsons, Guardian dan farmasi terpilih.
“Insya-Allah kami yakin dengan kapasiti pengeluaran yang dijangka mampu mengeluarkan sekitar 300,000 hingga 400,000 unit ubat gigi dalam tempoh sebulan dapat menampung permintaan untuk pasaran yang lebih meluas.
“Buat masa ini barisan ubat gigi tersebut boleh didapati secara online termasuk di laman e-dagang seperti Lazada dan Shopee dengan sambutan yang diterima amat menggalakkan,” ujarnya ketika ditemui K2 di Bandar Mahkota Cheras, Selangor baru-baru ini.
Pelancaran produk ubat gigi Aurawhite telah berlangsung pada Ogos lalu di Sungai Long, Cheras. Turut hadir pada pelancaran itu Pengarah Urusan Aurawhite, Datuk Saiful Safwan Mohamed Ghazi.
Halal
Aurawhite turut menampilkan tiga duta merangkap jurucakap produk iaitu selebriti terkenal, Izzue Islam, Fasha Sandha serta pendakwah daripada rancangan realiti Pencetus Ummah, Azman Syah Alias atau PU Azman.
Nur Furyna berkata, ubat gigi keluaran syarikatnya akan dikendalikan secara terus oleh bahagian pemasaran di ibu pejabat supaya aliran jualannya boleh dipantau sekali gus menjamin keseragaman harga.
Harapannya, masyarakat dapat menyokong produk keluaran tempatan Muslim yang telah mendapat pengiktirafan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tersebut.
“Ini bagi membolehkan capaian pembelian produk ubat gigi ini lebih meluas selain mudah didapati tanpa pengguna perlu menanggung kos pos. Lagipun, ia berbeza dengan kebanyakan produk Aurawhite lain yang memerlukan khidmat rundingan dari aspek penggunaan daripada stokis.
“Saya turut melihat produk ubat gigi baharu ini melengkapkan pakej penjagaan diri pengikut Aurawhite yang meliputi dalaman dan luaran memandangkan gigi merupakan aset peribadi yang turut memberi pengaruh besar kepada penampilan seseorang,” jelasnya.
Bagi menarik segmen pengguna meliputi masyarakat majmuk, Aurawhite turut bercadang mengolah jingle atau lagu pendek kempen penjenamaan yang akan diiklankan di stesen radio berbahasa Cina dan India dalam tempoh terdekat.
Mendedahkan perancangan jangka masa panjang untuk produk tersebut, varian ubat gigi khusus untuk wanita dan kanak-kanak turut akan dikeluarkan sama ada selepas Hari Raya Aidilfitri atau selewat-lewatnya awal tahun depan.
Dalam perkembangan berbeza, Nur Furyna berkata, Aurawhite akan melancarkan set penjagaan kulit terbaharu yang dipanggil Sparkle Glow dan dijangka menemui pengguna sebelum Ramadan ini.
Produk berasaskan ramuan semula jadi itu antaranya terdiri daripada pembersih wajah, serum serta paling istimewa krim pelindung matahari yang memberi kesan seperti mengenakan bedak asas.
Rumusan set tersebut juga bersifat mesra gender kerana ia sesuai digunakan oleh lelaki dan wanita.











