Anggota polis cedera, pemandu OKU ditahan - Utusan Malaysia

Anggota polis cedera, pemandu OKU ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 18 Feb. – Seorang anggota polis trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim cedera dalam satu kemalangan apabila motosikal yang ditunggangnya dihimpit oleh sebuah kereta di Kilometer 115, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur arah selatan, berdekatan lampu isyarat Behrang Ulu, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.50 malam itu menyebabkan Zaharuddin Zakaria, 57, mengalami patah di perge­langan tangan kanan serta tulang kaki kiri selain luka di bahagian mulut.

Bagaimanapun, pemandu kereta jenis Perodua Kenari berusia 24 tahun itu yang memiliki kad golongan kurang upaya (OKU), tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sewaktu kejadian mangsa sedang bertugas mengiringi sebuah lori muatan lebar bersama dua lagi anggota polis dari arah Slim River menghala ke Tanjung Malim.

“Apabila tiba di lokasi kejadian iaitu selepas lampu isyarat Behrang Ulu, kereta tersebut yang berada di lorong kiri dari arah sama, secara tiba-tiba mengubah haluan ke kanan tanpa sebarang isyarat lalu menghimpit motosikal ditunggang oleh mangsa.

“Ekoran kejadian itu, mangsa telah terjatuh berhampiran pembahagi tengah jalan dan mendapat kecederaan di bahagian kaki kanan sebelum dirujuk ke Hospital Slim River untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Kamarul Azran berkata, pemandu kereta berkenaan telah ditahan untuk diambil keterangan selepas dipercayai cuba melarikan diri sehingga dua kilometer dekat Plaza Tol Behrang.

Beliau berkata, kenderaan terlibat juga telah dibawa balik ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim untuk pemeriksaan Puspakom sementara ke­terangan saksi-saksi diperoleh bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×