Tiga lelaki Indonesia gagal seludup 20 migran  - Utusan Malaysia

Tiga lelaki Indonesia gagal seludup 20 migran 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Taktik licik tiga lelaki warga Indonesia yang menjadi dalang penyeludupan 20 orang migran ke negara ini berakhir apabila kesemua mereka ditahan dalam sebuah bot berdekatan muara sungai Kuala Selangor dekat sini awal pagi tadi. 

Bot jenis pom-pom tersebut ditahan kira-kira pukul 2.30 pagi ketika sepasukan anggota dan pegawai daripada Pasukan Polis Marin (PPM) bersama Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D7C) Bukit Aman melakukan rondaan di kawasan tersebut.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, bot yang dipercayai dalam perjalanan dari negara jiran itu ditahan pada kedudukan kira-kira tiga batu nautika dari muara sungai terbabit.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam bot terbabit kita telah menemui 20 orang migran yang terdiri daripada 13 lelaki dan 7 wanita berusia lingkungan empat hingga 56 tahun.

“Migran ini terdiri daripada empat warga Indonesia dan 16 warga Myanmar. Selain itu, kita turut menahan tiga lelaki dipercayai tekong dan awak-awak bot berkenaan berusia lingkungan 31 hingga 35 tahun,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Rosman berkata, hasil siasatan lanjut mendapati hanya tiga daripada 20 migran itu mempunyai pasport, manakala selebihnya tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Tekong dan awak-awak bot pom-pom berkenaan juga tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua yang ditahan itu kemudiannya dibawa ke Jeti PPM Wilayah 1, Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut,” jelasnya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×