KUALA LUMPUR 18 Feb. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil tindakan drastik untuk menambah baik prosedur dan juga peraturan di bawah Akta SPR bagi memastikan insiden Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau tidak berulang.
Aktivis politik, Rahmad Isahak berkata, hal itu bagi mengelakkan tanggapan negatif oleh masyarakat terhadap akta tersebut yang dilihat seolah-olah mempunyai kelemahan.
“Keputusan Mahkamah Persekutuan supaya PRK DUN Rantau diadakan semula perlu diterima atas dasar sistem perundangan sedia ada walaupun fakta kes yang dipertikaikan bukan berasaskan kepada salah laku bekas penyandang.
“Bukan sahaja bekas penyandang malah bekas calon dari PKR yang memfailkan petisyen turut kehilangan hak mereka atas dasar demokrasi akibat dari kecuaian peraturan sedia ada oleh SPR sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan keputusan kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) terbatal dan tidak sah sekaligus satu PKR perlu diadakan dalam tempoh 30 hari.-UTUSAN ONLINE











