Bersih gesa tubuh RCI siasat persempadanan semula - Utusan Malaysia

Bersih gesa tubuh RCI siasat persempadanan semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Feb. – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat kes salah laku hakim dalam isu persempadanan pilihan raya.

Menurut Jawatankuasa Pemandunya, pendedahan menggemparkan melalui afidavit Hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer tidaklah mengejutkan pihaknya kerana sebelum ini, permohonan yang dibawa untuk menghalang persempadan semula kawasan pilihan raya sering sahaja ditolak oleh panel khas yang dianggotai barisan hakim yang sama.

“Apabila kes persempadanan semula dibawa ke Mahkamah Rayuan, selalunya akan ada panel khas yang mendengar dan sering kali juga mereka terdiri daripada hakim yang sama dan hasilnya sentiasa sama : rayuan ditolak. Cabaran undang-undang ini ditolak dengan cepat, seolah-olah untuk memastikan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sempat dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Walaupun kami tiada bukti kukuh, corak ini menimbulkan keraguan yang munasabah bahawa wujud campur tangan kehakiman pada peringkat tertinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam afidavit setebal 63 muka surat itu, Hamid menyatakan bahawa ‘hakim tertinggi’ memanipulasikan korum hakim yang mendengar kes-kes melibatkan perlembagaan dan kepentingan awam seperti persempadanan semula, hasutan dan kes perhimpunan aman.

Mengulas lanjut, Bersih 2.0 berharap kerajaan dapat menubuhkan RCI dengan segera supaya isu tersebut dapat diselesaikan, sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman di negara ini.

Tambahnya lagi, kegagalam kerajaan berbuat demikian bukan sahaja memberi kesan kepada institusi kehakiman, malah keyakinan rakyat terhadap komitmen Pakatan Harapan (PH) untuk menegakkan keadilan serta kedaulatan undang-undang juga akan terhakis. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×