ST. PETERSBURG 17 Feb. – Sebahagian daripada bangunan sebuah universiti di sini runtuh menyebabkan ratusan pelajar dan pensyarah lari ketakutan.
RT News melaporkan, lebih 85 mangsa berjaya diselamatkan dalam insiden yang berlaku di Information Technologies, Mechanics and Optics University pada tengah hari semalam ketika proses pengajian berlangsung.
Menurut pihak berkuasa tempatan, kira-kira 21 orang terperangkap di bawah runtuhan.
Pasukan kecemasan kemudiannya mengesahkan seramai 85 orang berjaya diselamatkan dengan tidak menemukan sebarang mayat ketika operasi mencari serta menyelamat dilakukan.
Rektor universiti tersebut, Vladimir Vasylyev berkata, setakat ini tiada mangsa dilaporkan terperangkap di bawah runtuhan.
Beberapa gambar di lokasi kejadian menunjukkan bumbung universiti tersebut berlubang, selain kawasan koridor diselaputi debu tebal dan siling rosak teruk.
Satu video yang merakam detik-detik bangunan itu runtuh menunjukkan siling retak dan jatuh ke lantai, bekalan elektrik terputus dan orang ramai lari menyelamatkan diri.
Insiden itu mungkin berpunca daripada kerja-kerja pembinaan di bangunan tersebut dan pihak berkuasa Rusia melancarkan siasatan bagi mencari punca sebenar kejadian.











