ZAGREB 17 Feb. – Misteri kehilangan seorang penuntut Crotia 18 tahun lalu mungkin berjaya diselesaikan dengan penemuan mayat dalam peti sejuk.
Laporan media menyebut, peti sejuk itu berada di sebuah rumah di Mala Subotica, utara Crotia, dikatakan milik kakak kepada mangsa.
Mangsa, Jasmina Dominic, berusia 23 tahun ketika dilaporkan hilang pada 2000.
Jasmina sedang melanjutkan pengajian di Zagreb ketika itu dan ahli keluarganya hanya memaklumkan kehilangan mangsa kepada polis lima tahun kemudiannya.
Lewat malam semalam, seorang wanita berusia 45 tahun ditahan di Mala Subotica berkaitan dengan siasatan kes tersebut, jelas jurucakap polis daerah, Nenad Risak.
“Kami percaya mayat yang ditemukan di dalam peti sejuk itu adalah wanita yang lahir pada 1977 dan kehilangannya dilaporkan pada 16 Ogos 2005,” katanya.
Tambahnya, polis percaya individu itu dibunuh tetapi masih menunggu laporan autopsi.
Jurucakap tersebut enggan memberikan butiran lengkap wanita yang ditahan itu tetapi media tempatan melaporkan, wanita itu adalah kakak mangsa.
Laman web eMedjimurje melaporkan bahawa mayat tersebut ditemukan di sebuah rumah di mana wanita yang ditahan itu tinggal bersama suami dan tiga orang anaknya.
Bapa Jasmina, yang meninggal dunia beberapa tahun lalu, pernah memaklumkan pada 2011 bahawa anaknya itu ada memberitahunya sekitar 2000 untuk bekerja di kapal pesiar dan merancang untuk menetap di Paris. – AFP











