Jumlah saman sepanjang Operasi Tahun Baru Cina 2019 catat penurunan - Utusan Malaysia

Jumlah saman sepanjang Operasi Tahun Baru Cina 2019 catat penurunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Jumlah pengeluaran saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) sepanjang dua minggu Operasi Penguatkuasaan Perayaan Tahun Baru Cina 2019 dijalankan mencatatkan penurunan jika dibandingkan dengan tempoh sama tahun lalu.

Operasi yang dilakukan bermula pada 29 Januari sehingga 12 Februari lalu itu melibatkan seramai 1,800 orang anggota penguat kuasa dari semua Bahagian JPJ Negeri termasuk di JPJ Cawangan, Stesen Penguatkuasa dan Stesen Kawalan Sempadan berbanding 1,960 orang anggota tahun lalu.

JPJ melalui satu kenyataan berkata, sepanjang dua minggu operasi dilakukan, sebanyak 128,569 buah kenderaan telah diperiksa dan 32,725 saman telah dikeluarkan manakala untuk tempoh sama tahun lalu pula, daripada 110,755 kenderaan yang diperiksa, sebanyak 40,660 saman telah dikeluarkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Daripada 32,725 jumlah saman itu sebanyak 12,433 saman dikeluarkan ke atas kesalahan utama yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.

“Penurunan jumlah pengeluaran saman itu sekaligus menunjukkan kadar pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang jalan raya yang semakin meningkat dalam kalangan pemandu ,” ujar kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu, memandu dengan kenderaan melebihi muatan dibenarkan mencatatkan jumlah pengeluaran saman tertinggi iaitu sebanyak 1,472 saman diikuti oleh kegagalan mematui lampu isyarat merah sebanyak 565 saman dan tidak memakai tali pinggang keledar dengan 541 saman.

“Bagi pengeluaran saman melibatkan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) sebanyak 8,632 saman telah dikeluarkan kepada pemandu yang memandu melebihi had laju dibenarkan manakala 945 saman pula melibatkan kegagalan mematuhi lampu isyarat merah.

“Lain-lain kesalahan yang dikenakan saman adalah memotong di garisan berkembar, 284 saman tidak memakai topi keledar, 280 saman menggunakan telefon bimbit ketika memandu, 253 saman memotong secara merbahaya, 187 saman memandu di lorong kecemasan, 163 saman menggunakan tayar celup yang tidak mengikut spesifikasi serta memandu secara berterusan di lorong kanan dengan 38 saman,” jelas kenyataan tersebut.

Jelas kenyataan itu, Op penyamaran sebagai penumpang bas ekspres turut dilaksanakan serta telah mengeluarkan sebanyak 97 saman daripada 753 buah bas ekspres yang dinaiki.

“Pihak JPJ juga telah menahan sebanyak lapan lesen pemandu bas yang gagal dalam pemeriksaan air kencing setelah memeriksa 11,176 buah bas di 28 terminal di seluruh negara,” ujar kenyataan itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini