GELANGGANG Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih kembali bergegar dengan isu Pas ‘talak’ UMNO.
Mungkin ada dalam kalangan pengundi Pas tidak akan memangkah calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi kerana dendam kesumat dan rasa ‘teraniaya’ terhadap BN masih menebal dalam diri atau lebih tragis tidak akan turun mengundi.
BN mahu bawa isu setempat, soalnya adakah penduduk Semenyih peduli akan hal itu? Ini kerana bagi mereka kebajikan di Selangor berjaya mengatasi masalah mereka, kalau setakat jalan tidak berturap, paip air bocor itu adalah masalah ‘biasa’ yang boleh diselesaikan segera.
Pengundi di Selangor ingin melihat benda lebih menjamin masa depan. Contohnya, Pinjaman Pelajaran Selangor yang diperkenalkan sewaktu Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan) mula mengambil alih negeri itu 10 tahun lalu boleh diiktiraf terbaik apabila tidak mengenakan sebarang faedah.
DUN Semenyih yang mempunyai 23 kawasan seperti Kampung Sesapan Batu dan Bandar Tasik Kesuma merekodkan peratusan pengundi Melayu seramai 69.2 peratus, manakala Cina (16.8 peratus) dan India (13.3 peratus) boleh diberikan segmen kehendak berbeza berdasarkan polarisasi kaum.
Bagi pengundi Cina, mungkin melihat pembangunan perumahan baharu yang mencecah harga RM400,000 di Eco Majestic sebagai mercu tanda kehidupan serba moden dan mewah yang melatari landskap kawasan itu.
Pengundi Cina mustahil termakan sentimen isu nasional atau tempatan melainkan jentera MCA bertungkus lumus berkempen rumah ke rumah di kawasan elit tersebut. Setakat ini, rasanya belum kelihatan jentera MCA.
Bagi pengundi Melayu, mungkin melihat laungan penyatuan Melayu-Islam sebagai agenda keutamaan melebihi kehendak mengundi parti apa dan siapa calon bertanding. Kalau jentera Pas dan BN boleh bergandingan dan berusaha keras selama dua minggu, tidak mustahil majoriti pengundi Melayu boleh beralih arah.
PH juga tidaklah begitu sempurna, masakan seramai 40 penyokong dari Perak dibawa menggunakan bas berwarna biru milik Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Addin 16, Batu Gajah semasa hari penamaan calon semalam? Tidakkah tindakan ini sebenarnya menggunakan kenderaan sekolah sebagai tujuan politik?
Sudah tentu alasan ingin meramaikan penyokong mereka kerana penduduk elit dan separa moden di Saujana Impian rata-rata tidak berminat untuk berkempen, berarak mahupun bersorak kerana bagi mereka hari minggu masa untuk anak-anak dan keluarga. – UTUSAN ONLINE











