LONDON 14 Feb. – Manchester United hari ini mendedahkan mereka membayar pampasan hampir 19.6 juta pound (RM102.3 juta) ketika memecat Jose Mourinho dan pasukan pembantunya pada Disember lalu.
Begitupun, Naib Pengerusi Eksekutif kelab, Ed Woodward memuji impak yang dibawa Ole Gunnar Solskjaer selepas mengambil alih tugas pengurus sementara.
United kini menghuni tangga keempat Liga Perdana Inggeris, berbanding ketinggalan 11 mata daripada kelompok empat terbaik, iaitu slot untuk layak ke Liga Juara-Jaura ketika ditinggalkan oleh Mourinho.
“Pelantikan Ole dan Mike (Phelan) sebagai pengurus sementara dan pembantu pengurus membawa impak positif kepada kelab.
“Kami gembira dengan peningkatan persembahan pasukan sejak Disember dan berusaha keras untuk mendapatkan penamat terbaik bagi musim 2018/19,” kata Woodward.
United sebelum ini mengumumkan pendapatan 208.6 juta pound (RM1.09 bilion) bagi suku pertama tahun ini, yang diubah kepada pendapatan sebelum sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 104.3 juta pound (RM545 juta) dan keuntungan operasi 44 juta pound (RM229.9 juta).
Real Madrid bulan lalu mengatasi United sebagai kelab terkaya dalam dunia dalam senarai Liga Duit Bola Sepak Deloitte selepas dua tahun diatasi kelab Inggeris berkenaan. – AFP











