SHAH ALAM – Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu disifatkan gagal memahami situasi sebenar di sebalik penyertaaan tujuh bekas ahli Parlimen UMNO dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kelmarin.
Kegagalan Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu ditegaskan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya sekaligus mempertahankan keputusan yang dibuat oleh partinya termasuklah pendirian Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung perkara itu.
Menurut Abu Bakar, tujuh ahli Parlimen berkenaan bukan lagi daripada UMNO, sebaliknya mereka merupakan ahli Parlimen bebas yang menyatakan hasrat mereka ingin bersama-sama dalam perjuangan Bersatu.
“Mereka (tujuh Ahli Parlimen) itu bukan daripada UMNO, sebaliknya mereka adalah ahli Parlimen bebas dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik.
“Enam daripada mereka telah keluar daripada UMNO sejak Disember 2018 manakala seorang lagi keluar daripada UMNO sejak 1 Julai tahun lalu. Jadi apa yang beliau (Ronnie) mahu bising dan kecewa sangat.
“Malah kami (Bersatu) tidak pernah campur hal ehwal dalaman DAP. Sebaliknya kami menghormati prinsip kerjasama semua parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH),” tegasnya di sini hari ini.
Semalam, Ronnie dilapor menyifatkan bekas wakil rakyat UMNO yang diterima masuk ke dalam Bersatu sebagai ‘sampah’.
Menurutnya tindakan Pengerusi Bersatu menerima ‘katak-katak’ UMNO berkenaan sungguh mengecewakan kerana beliau sebelum ini pernah berjanji tidak akan menerima golongan seperti ini.
Dalam pada itu, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri itu menasihatkan Ronnie supaya melihat kemasukan tujuh ahli Parlimen terbabit dari sudut gambaran luas dan bukannya secara sempit seolah-olah seperti ‘katak di bawah tempurung’.
Ini kerana kemasukan tujuh ahli Parlimen itu ke dalam Bersatu sekaligus memperkuatkan lagi kerusi PH dalam Parlimen.
Kelmarin, tujuh ahli Parlimen bebas menerima kad keahlian sebagai tanda penyertaan mereka ke dalam Bersatu daripada Mahathir dalam satu majlis ringkas di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
Mahathir menyerahkan kad keahlian tersebut kepada ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Shamsuddin; Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut); Datuk Dr. Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh.
Ketika ini Bersatu mempunyai 22 Ahli Parlimen. – K! ONLINE











