KANGAR 3 Feb. – Islam adalah agama yang mengajar seluruh umatnya agar sentiasa melakukan kebaikan kepada sesiapa sahaja, termasuk golongan bukan Islam.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Islam itu sendiri adalah agama yang mengajar umatnya untuk menjaga keharmonian.
Titah baginda lagi, Islam tidak sesekali mengajak permusuhan, tetapi menyeru ke arah kehidupan sejagat yang harmoni.
“Islam juga membawa mesej keamanan dan keharmonian hidup tanpa mengira soal agama, bangsa dan warna kulit yang berbeza,” titah baginda.
Demikian bertitah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan penutupan Dialog Harmoni dan Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran One Centre Malaysia Perlis di pekarangan Pasar Raya Ten Ten di sini kelmarin.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agam Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.
Turut hadir, Pegawai Kewangan negeri merangkap Pemangku Setiausaha Kerajaan negeri, Nasaruddin Abdul Muttalib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling.
Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs turut menambah bahawa keharmonian adalah salah satu manifestasi dalam membentuk perpaduan.
“Perpaduan yang kukuh akan terlahir daripada manifestasi keharmonian ini. Perkataan harmoni itu sendiri membawa maksud yang pelbagai seperti aman, tenteram, bahagia dan tenang,” titah baginda.
Pada majlis tersebut, selain dialog, turut diadakan kuiz, tarian singa, Yee Sang dan sumbangan zakat.











