KUALA LUMPUR 3 Feb. – Sebanyak enam nama pilihan UMNO Bahagian Hulu Langat untuk menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dalam proses tapisan BN pusat.
Ketua UMNO bahagiannya, Datuk Johan Abd. Aziz berkata, selepas proses tapisan selesai, nama yang terpilih akan diumumkan pada 13 atau 14 Februari ini.
“Sudah serah enam nama ke BN Pusat. Masih dalam proses tapisan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Johan, dalam kalangan enam nama yang dipilih, ada di antara mereka merupakan ahli jawatankuasa bahagian UMNO Hulu Langat dan ada juga dalam kalangan sayap Pergerakan Wanita dan Pergerakan Pemuda.
“Saya juga tidak menafikan bahawa ada calon yang dipilih terdiri dalam kalangan tokoh yang berjaya,” katanya.
Pada 22 Januari lalu, penyandang DUN Semenyih bagi tempoh dua penggal, Johan mengumumkan tidak akan bertanding PRK kali ini.
Beliau yang merupakan calon BN DUN tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berkata, pihaknya akan memberi ruang dan peluang kepada individu lain untuk memberi khidmat kepada masyarakat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRK DUN Semenyih pada 2 Mac, penamaan calon pada 16 Februari dan mengundi awal pada 26 Februari ini.
Seramai 54,503 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih SPR sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini sehingga 11 Januari lalu.
PRK DUN Semenyih diadakan apabila wakil rakyatnya, Bakhtiar Mohd. Nor, 57, meninggal dunia akibat serangan jantung, 11 Januari lalu.
Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Langat itu mengalahkan Johan, wakil rakyat dua penggal DUN Semenyih, dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.











